Moratorium enam bulan boleh dimohon bermula esok: BNM

Bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan.
Bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peminjam individu, dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai 7 Julai, 2021, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, peminjam tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan kerana kelulusan akan diberikan secara automatik.

"Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam," kata BNM.

Bank pusat juga berkata, peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

"Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

"Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan," katanya.

Menurut BNM, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau emel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

Bank pusat juga menggesa peminjam agar menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan.

"Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium.

"Peminjam dinasihati supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan," katanya.

Industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

Dalam hal ini, BNM akan memantau dengan rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

"Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka," katanya.

Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM. - Bernama