X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Khidmat jurufoto, video percuma buat golongan terjejas

Mohd Fais Hafiz menunjukkan poster tawaran penggambaran foto dan video percuma di laman Twitter, Facebook dan Instagram miliknya ketika ditemui di Kampung Pulau Duyong. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Penularan pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini telah menyerlahkan lagi sifat prihatin rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat dan latar belakang apabila ramai yang tampil membantu golongan memerlukan melalui cara tersendiri.

Juruvideo bebas Mohd Fais Hafiz Mohd Ismail, 27, misalnya, menawarkan perkhidmatan penggambaran foto dan video percuma kepada golongan peniaga dan usahawan kecil yang hilang mata pencarian ekoran pandemik tersebut.

“Saya tengok masyarakat betul-betul terkesan akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kali ini. Semakin ramai yang hilang kerja atau dipotong gaji.

"Pilihan yang mereka ada ialah berniaga barang atau makanan yang dimasak sendiri namun, biasanya mereka tidak mempunyai gambar atau video produk yang cantik untuk menarik pelanggan.

“Jadi saya terfikir untuk menggunakan kepakaran yang ada membantu meningkatkan jualan mereka melalui gambar dan video,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Beliau yang sebelum ini banyak menghasilkan video korporat, video muzik dan video produk itu dibantu tiga rakannya iaitu Mohamad Fazrul Azril Abdul Muhayidi, 28; Muhamad Arif Asyraf Mohd Naim, 26; dan Khairul Na'im Zaiki, 34.

Walaupun baru seminggu menguar-uarkan penggambaran foto dan video percuma melalui poster ‘Product Shoot PERCUMA! di laman Twitter, Facebook dan Instagram, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, termasuk daripada peniaga dan usahawan kecil dari luar Terengganu seperti Perak dan Kuala Lumpur.

Mohd Fais Hafiz berkata, beliau dihubungi lebih 40 individu yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut namun hanya memilih 13 daripada mereka demi menjaga kualiti gambar atau video yang dihasilkan.

Mohd Fais Hafiz menyusun produk milik peniaga dan usahawan kecil sebelum merakamkan foto dan video ketika ditemui di Kampung Pulau Duyong. - Foto Bernama
Mohd Fais Hafiz menyusun produk milik peniaga dan usahawan kecil sebelum merakamkan foto dan video ketika ditemui di Kampung Pulau Duyong. - Foto Bernama

“Saya tidak mahu ambil terlalu banyak produk, bimbang hasil yang diberikan kurang berkualiti kerana kekangan masa.

"Saya hanya rakam gambar dan video dua atau tiga produk sehari kerana saya perlukan masa untuk menghasilkan suntingan yang cantik.

“Saya hanya pilih produk yang baharu dan belum dikenali, selain faktor penjual betul-betul terkesan dengan Covid-19 serta tidak mampu memiliki gambar atau video berkualiti,” katanya menambah kebanyakan produk adalah makanan seperti sambal ikan bilis dan daging dendeng.

Peniaga terpilih katanya akan diberi pilihan sama ada untuk mendapatkan 10 keping gambar atau sebuah video berdurasi 30 saat yang boleh digunakan untuk mempromosi produk jualan mereka.

“Mereka hanya perlu poskan produk kepada saya dan setelah gambar atau video siap, saya akan berikan hasilnya menerusi pautan Google Drive.

"Selepas itu, mereka bebas menggunakan gambar atau video yang siap disunting untuk tujuan promosi pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya yang menjalankan penggambaran di rumah.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Fakulti Filem Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, selain mengasah kemahiran, usaha yang dilakukan itu adalah untuk mengisi masa lapang setelah projek penggambarannya tergendala berikutan pelaksanaan PKP. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!