'Kami tunggu pengumuman rasmi AFC'

Nafuzi bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diumumkan AFC dalam masa terdekat. - Foto Facebook Terengganu FC
Nafuzi bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diumumkan AFC dalam masa terdekat. - Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

DUA wakil negara - Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung status penganjuran Piala AFC musim ini.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, pihaknya perlu akur dengan keputusan yang dibuat Kondeferasi Bola Sepak Asia (AFC) biarpun mengakui kecewa jika Piala AFC melibatkan aksi Kumpulan D, G, H dan I dibatalkan.

“Bagi saya, para pemain dan juga pihak pengurusan TFC, kami memang kecewa sekiranya AFC membuat keputusan untuk membatalkan Piala AFC tahun ini.

“Sejak awal lagi kami sudah membuat persiapan menghadapi Piala AFC. Apa pun, kami tetap terima keputusan AFC, apatah lagi dengan situasi semasa (Covid-19) yang menyebabkan keputusan itu dibuat.

“Mungkin sekarang kami boleh memberikan fokus pada saingan Liga Super yang akan bersambung tidak lama lagi. Ada rezeki, kami mahu layak sekali lagi ke Piala AFC musim depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak pula memberitahu, beliau hanya menunggu keputusan rasmi daripada pihak AFC sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Kami akan tunggu sehingga AFC membuat keputusan rasmi berhubung perkara ini... itu lebih baik. Buat masa ini, saya tidak mahu komen lebih lanjut,” ujarnya.

Pada Isnin, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John memaklumkan, pembatalan secara rasmi empat saingan kumpulan Piala AFC 2021 yang turut membabitkan KDA FC dan TFC akan diketahui selewat-lewatnya Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

Windsor berkata, pihaknya masih mempunyai masa untuk menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan bagi menganjurkan saingan kumpulan itu yang sepatutnya berlangsung dari 29 Jun hingga 6 Julai ini.

KDA FC dan TFC masing-masing diundi dalam Kumpulan H dan I saingan Piala AFC 2021 sementara dua lagi kumpulan yang turut berdepan pembatalan adalah Kumpulan D dan G.

Pada Mei lalu, Singapura menarik diri daripada menganjurkan saingan Kumpulan H dan I berikutan pandemik Covid-19 yang tidak menentu di rantau ini, sekali gus menjadikan perjalanan masuk ke republik itu agak mencabar bagi pasukan luar.