Pekebun durian musang king minta operasi ditangguh

Tangkap layar klip video yang memaparkan beberapa individu melakukan provokasi terhadap anggota operasi tersebut.
Tangkap layar klip video yang memaparkan beberapa individu melakukan provokasi terhadap anggota operasi tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Pekebun durian musang king di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub merayu pihak berkuasa menangguhkan operasi menebang pokok yang ditanam secara haram itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baharu (JKKKB) Tras, Lim Teck Hoe berkata, penangguhan itu bertujuan memberi peluang kepada pekebun berbincang dengan kerajaan Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

"Saya bertanggungjawab membantu menyampaikan hasrat penduduk Kampung Baru Tras termasuk pekebun durian. Mereka mahu berbincang dan mencari penyelesaian secara 'menang-menang' dengan kerajaan dan JPNP.

"Pekebun yang terlibat telah insaf dengan perbuatan mereka dan merayu kerajaan dapat mempertimbangkan menangguhkan operasi penguatkuasaan ini sehingga kedua-dua pihak dapat mencapai kata sepakat yang dibenarkan mengikut lunas-lunas undang-undang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan

Isu pekebun durian: PGA dihantar ke Raub jaga ketenteraman awam

Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah

Pada Ahad, JPNP menahan 18 pekebun haram durian musang king dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Difahamkan lebih 200 pokok durian telah dimusnahkan dalam operasi penguatkuasaan itu.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian musang king terbabit direman dan pada Selasa mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai insiden itu, Teck Hoe meminta agar semua pekebun bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang dan Akta Perhutanan Negara 1984.

Jelasnya, ini kerana operasi penguatkuasaan JPNP mengikut perundangan sedia ada.

Sementara itu, Penasihat Save Musang King (Samka), Chow Yu Hui berkata, semua pekebun durian sedia berbincang dengan pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu ini.

"Pekebun akan memberi kerjasama bagi memastikan satu keputusan menang-menang dapat dicapai," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Proses reman 18 pekebun durian musang king kecoh

Polis buka kertas siasatan terhadap Ronnie Liu