Bendera putih: Jangan ambil kesempatan

Sebuah rumah dipenuhi bekalan makanan dikesan menaikkan bendera putih berulang.
Sebuah rumah dipenuhi bekalan makanan dikesan menaikkan bendera putih berulang.
A
A
A

RAWANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat mendedahkan terdapat pihak mengambil kesempatan kempen bendera putih untuk mendapatkan bantuan berulang.

Wei Kiat berkata, perkara itu disampaikan oleh sukarelawan di kawasannya yang mengesan terdapat beberapa individu yang menaikkan semula bendera putih sehari selepas menerima bantuan.

Menurutnya, tindakan tersebut telah mengganggu usaha pihaknya juga badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam misi membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Saya harap mereka yang telah menerima bantuan tidak menaikkan semula bendera putih. Inisitif bendera putih itu bagus dapat kenal pasti pihak yang memerlukan, jangan ada pihak yang mengambil kesempatan.

Bendera putih di Rawang.
Bendera putih di Rawang.

"Ia akan melambatkan kerja atau bantuan kepada mereka yang benar-benar dalam keadaan terdesak. Setakat ini, kita kenal pasti tujuh hingga lapan kes melakukan perkara demikian," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Isnin lalu, Wei Kiat menerusi kemas kini di Facebooknya mendedahkan, perlakuan pemilik sebuah rumah yang menyalahguna kempen bendera putih, siasatan mendapati rumah tersebut dipenuhi barang makanan.

Wei Kiat berkata, Pusat Khidmat DUN Rawang telah membelanjakan lebih RM100, 000 untuk menyediakan bantuan keperluan makanan asas selain susu bayi dan lampin pakai buang sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1.0 yang bermula Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, daripada jumlah tersebut lebih 100 keluarga telah dibantu khusus di bawah kempen bendera putih di kawasannya.

"Biasanya penerima yang dibantu, nama mereka akan direkodkan untuk rujukan memandangkan bantuan bukan hanya di bawah peruntukan pejabat DUN sebaliknya turut mendapat sumbangan daripada peniaga dan juga kutipan orang ramai.

Wei Kiat menyusun bahan asas yang diletakkan di Food Bank di luar pejabatnya bagi memudahkan penduduk terputus bekalan mendapatkan makanan.
Wei Kiat menyusun bahan asas yang diletakkan di Food Bank di luar pejabatnya bagi memudahkan penduduk terputus bekalan mendapatkan makanan.

"Buat masa ini bantuan difokuskan kepada keperluan asas. Ada juga penduduk yang mengadu mengalami masalah tunggakan sewa rumah, perkara itu kita rekod dan akan cuba bantu sebaiknya," katanya.

Pada masa sama, pihaknya turut melaksanakan kemudahan Food Bank di luar pejabatnya bagi memudahkan orang yang terdesak mendapatkan bekalan makanan.

"Modal awalan diperuntukkan adalah RM500. Kita juga galakkan orang awam yang berkemampuan untuk menyumbang bagi memupuk semangat saling mambantu antara satu sama lain.

"Maklum balas yang diterima juga positif. Kemudahan itu dipantau melalui CCTV bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan daripada sumbangan orang ramai," katanya.