NGO Muslim India Kelantan harap MAIK pertimbang pemberian geran

Mohamed Sultan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di pejabatnya di Kota Bharu pada Selasa.
Mohamed Sultan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di pejabatnya di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU – Walaupun bergantung kepada sumbangan individu, namun Persatuan Muslim India Kelantan sentiasa memastikan kebajikan 300 ahlinya dan masyarakat Muslim yang lain sentiasa terjaga.

Presidennya, Mohamed Sultan Oli Mohamad berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pihaknya telah membantu ramai penduduk walaupun mereka tidak berdaftar dengan persatuan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon geran bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk melancarkan aktiviti kebajikan dan tidak terhad kepada ahli-ahli persatuan itu sahaja.

“Kami masih menunggu jawapan mengenai permohonan berkenaan yang dibuat awal tahun ini.

“Dengan adanya geran berkenaan, kami boleh bergerak lebih jauh dengan membantu ahli dan juga masyarakat Melayu yang lain sebab misi bantuan kami bukan pada ahli semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini pada Selasa selepas menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, kebanyakan ahlinya terdiri daripada peniaga-peniaga kecil yang terkesan dengan penutupan beberapa sektor ekonomi disebabkan oleh penularan Covid-19.

Mohamed Sultan berkata, walaupun sumbangan individu tidak mampu menampung jumlah keseluruhan bantuan, namun dia tetap mengagihkannya sebaik mungkin, selain menjadi 'telinga' dalam mendengar masalah dan aduan rakyat.

“Besar harapan kami kalau MAIK dapat pertimbangkan pemberian geran berkenaan yang mungkin dapat membantu asnaf-asnaf yang berada di bawah persatuan, selain bantuan kepada masyarakat setempat yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Setiap hari kami terima panggilan daripada rakyat seluruh negeri Kelantan, dari daerah berbeza. Apa yang boleh tolong, kami tolong,” katanya.