UMWT tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia, sasar pengeluaran HEV

No Image Caption
A
A
A

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan langkah untuk menggerakkan inisiatif pengecualian karbon menerusi usaha pengeluaran kenderaan hibrid elektrik (HEV) di peringkat tempatan.

Sejajar dengan hasratnya untuk mempelopori usaha tersebut di Malaysia, UMWT akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM270 juta di negara ini bagi memperluas operasi serta kemudahan pengeluaran sedia ada, demikian menurut UMWT dalam kenyataan pada Selasa.

Pelaburan tambahan itu menyusuli pelaburan RM2 bilion sebelum ini yang meliputi pembinaan serta pengoperasian kilang baharunya di Bukit Raja.

“Jumlah (pelaburan tambahan) itu termasuk pengenalan generasi kenderaan teknologi termaju bagi HEV,” katanya.

Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama berkata, pengeluaran secara besar-besaran dan penerimaan yang semakin ketara terhadap HEV akan turut menggalakkan perubahan keseluruhan ekosistem automotif bagi memupuk kesedaran bersama bagi mengurangkan jejak karbon di Malaysia.

“Kami bersedia (dengan pengenalan barisan kenderaan HEV) dan teknologi berkaitan, sokongan servis, prasarana semasa, dasar global dan domestik, tahap mampu milik dan keberkesanan kos, kesedaran dan permintaan pelanggan terutama di Malaysia kini di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baharu bagi mencapai pengecualian karbon ini,” katanya.

Menurut kumpulan itu, kilang baharu di Bukit Raja turut dianggap sebagai kilang Toyota paling moden, maju serta cekap di Asia selain sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif kenderaan cekap tenaga (EEV) serantau.

Malah, antara jejak alam sekitar kilang tersebut adalah pemasangan panel solar berkapasiti 2.0 megawatt (MW), kemudahan dari segi kemampuan mengumpul dan mengitar semula 156 meter padu air hujan selain pembebasan sebatian organik meruap terendah di Asia menerusi pemasangan pengoksida suhu regeneratif.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden UMWT, Ravindran K menyifatkan pengenalan teknologi hibrid elektrik akan mengubah landskap automotif dengan lebih pantas di Malaysia.

“Kami berharap kerajaan akan turut mempertimbang usaha UMWT untuk disertakan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara serta kenderaan bateri elektrik yang selari dengan perancangan kerajaan,” katanya.

Toyota juga komited untuk mempunyai sejumlah 70 model kenderaan elektrik menjelang 2025, termasuk yang dijana oleh sel bahan api hidrogen, bateri dan hibrid elektrik. - Bernama