MIDF lancar platform pelaburan digital untuk saham, ETF AS

 MIDF
MIDF
A
A
A

MIDF Amanah Investment Bank Bhd telah melancarkan platform pelaburan dalam talian - MIDF Invest, yang menawarkan akses langsung dan selamat kepada rakyat Malaysia ke saham dan dana dagangan bursa (ETF) yang disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE) dan Nasdaq.

Syarikat induknya, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) berkata, pengguna boleh membuka akaun Islam dan melabur dalam sekumpulan besar saham patuh Syariah dan ETF yang disenaraikan di NYSE dan Nasdaq.

"MIDF Invest akan menawarkan pembrokeran percuma untuk semua dagangan di bawah AS$1,000 (AS$1=RM4.15) mulai 6 hingga 31 Julai 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengarah Urusan kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelabur Malaysia, baik pengurus dana dan individu kian sofistikated dan berpengetahuan.

"Kami telah melihat minat yang semakin meningkat untuk melabur di pasaran lain, terutama pasaran saham Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Menurut Charon, fenomena seumpama ini didorong oleh keperluan untuk mempelbagaikan portfolio serta tarikan daripada pulangan tinggi pasaran AS, yang sebahagiannya dipacu oleh prestasi syarikat teknologi.

"Kami mewujudkan aplikasi ini kerana kami percaya bahawa pelaburan di luar negara harus disediakan dan mampu untuk semua," katanya.

MIDF Invest adalah kerjasama dengan Saxo Markets Asia Pacific (Saxo Markets) yang berpangkalan di Singapura dan anak syarikat berlesen bank pelaburan Denmark iaitu Saxo Bank, penyedia perkhidmatan dan teknologi pelaburan yang dikawal selia dan terkemuka. - Bernama

Artikel Berkaitan: