X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar 16 tahun rugi RM2,000 ditipu 'John Hamid'

Terjerat dengan kenalan Facebook yang menawarkan hadiah lumayan, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mengalami kerugian RM2,000.- Foto 123RF
A
A

PORT DICKSON - Terjerat dengan kenalan Facebook yang menawarkan hadiah lumayan, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mengalami kerugian RM2,000.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa telah berkenalan dengan suspek di Facebook yang memperkenalkan diri sebagai 'John Hamid'.

"Suspek memberitahu dia merupakan seorang doktor di Amerika Syarikat dan selepas dua minggu berkenalan dengan mangsa, suspek telah menawarkan untuk memberi hadiah berupa barang kemas, beg tangan dan kasut.

"Suspek turut memberikan wang tunai kepada mangsa untuk tujuan mencari rumah di negara ini kerana mendakwa mahu menetap di sini," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, selepas beberapa hari, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada agen kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang meminta memasukkan wang untuk urusan penghantaran barang ke alamatnya.

Katanya, mangsa kemudian telah membuat pembayaran RM2,000 ke dalam sebuah akaun tempatan.

"Namun mangsa menyedari ditipu selepas sekali lagi diminta untuk masukkan wang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya yang menerima laporan polis daripada mangsa pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Aidi Sham berkata, dalam tempoh Januari hingga Julai, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Port Dickson telah menerima empat laporan berkenaan kes sama yang melibatkan kerugian RM28,100.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan gambar profil yang digunakan dan kata manis dijanjikan semasa perkenalan.

"Orang ramai juga perlu berhati-hati memilih rakan melalui media sosial atau alam maya terutamanya mereka yang kononnya berasal dari luar negara," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!