Anak terpaksa minum susu pekat, makan berlauk telur setiap hari

Siti Azura melayani anak sulungnya, Muhamad Farez Iqbal yang mengalami lumpuh separuh badan.
Siti Azura melayani anak sulungnya, Muhamad Farez Iqbal yang mengalami lumpuh separuh badan.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sepasang suami isteri yang hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19 terpaksa memberi anak mereka minum susu pekat selain menggunakan lampin kain berbanding lampin pakai buang.

Siti Azura Arifin, 26, yang tinggal menyewa di sebuah rumah di Kampung Pauh Sayong di sini memberitahu, suaminya Muhamad Faizal Kamarulzaman, 27, tidak dapat bekerja sebagai tukang rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dikuatkuasakan.

Keadaan itu menurutnya, menyebabkan mereka kesempitan wang untuk menampung perbelanjaan rumah termasuk keperluan anak lelaki berusia 8 tahun yang lumpuh separuh badan kerana menghidap sindrom Guillain-Barre (GBS) dan anak perempuan berusia 3 tahun yang masih menyusu.

"Waktu PKP ini, suami usaha juga cari duit belanja rumah dengan ambil upah buat kerja kampung seperti potong rumput dan kait buah sawit, jadi pendapatan yang diperoleh itu kami guna secara jimat beli barangan dapur untuk anak-anak makan.

"Kami tidak mampu beli susu tepung dan lampin pakai buang kerana kosnya agak tinggi, sebagai alternatif lain kami bancuhkan susu pekat untuk ganti susu tepung, lampin pula pakai lampin kain sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Siti Azura yang sarat hamil lapan bulan berkata, akibat kesempitan hidup dan wang juga, mereka hanya mampu mengisi hari-hari dengan makan nasi berlaukkan telur dan kicap hampir setiap hari.

Katanya, ada ketika apabila kehabisan bekalan telur, dia meminta bantuan makanan di kawasan kejiranan di situ bagi memastikan anak-anaknya dapat makan.

Siti Azura bersama anaknya, Muhamad Farez Iqbal dan Siti Nursyiffa Auni di rumah mereka di Kampung Pauh Sayong, Kuala Kangsar.
Siti Azura bersama anaknya, Muhamad Farez Iqbal dan Siti Nursyiffa Auni di rumah mereka di Kampung Pauh Sayong, Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

"Banyak kali dah kami minta bantuan daripada jiran-jiran di sini, malu memang malu, tetapi nak tak nak terpaksa juga sebab tak sampai hati nak biarkan anak-anak tak makan.

"Saya dan suami pernah terfikir nak gantung bendera putih dengan harapan ada yang sudi tampil membantu, tetapi kami malu tambahan pula jiran-jiran di sini sudah banyak membantu.

"Sebelum ini pun sudah ada beberapa pihak datang bantu menghulurkan bantuan keperluan makanan seperti beras, telur, minyak dan gula," katanya.

Dia berkata, tiada sebarang persiapan dapat dilakukan bagi menyambut kelahiran baharu dalam keluarga itu yang dijadualkan pada Ogos depan.

Menurutnya, pada masa ini masih banyak keperluan lain yang perlu dijelaskan terlebih dahulu antaranya sewa rumah yang tertunggak hampir setahun dan bayaran bil elektrik serta air yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

"Barang dan baju-baju bayi yang digunakan dua anak saya sebelum ni masih elok, jadi pakai mana yang ada sahajalah," katanya memberitahu turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Mereka yang ingin membantu, boleh menghubungi Siti Azura di talian 011-3542 5327 atau sumbangan ke akaun CIMB 7631515811 atas nama Siti Azura Binti Arifin.