Penjenayah bermotosikal: Polis tahan dua lelaki

 Noor Azam Jamaludin
Noor Azam Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penjenayah bermotosikal yang melakukan samun di beberapa lokasi sekitar negeri.

Tanpa mendedahkan tarikh dan masa tangkapan dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, satu pasukan khas bagi menangani jenayah ini telah ditubuhkan.

"Dua lelaki ditahan buat masa ini. Kita sedang siasat sama ada suspek ini terlibat secara langsung atau tidak dalam kejadian tersebut.

"Kita juga sedang giat mengesan suspek-suspek lain yang terlibat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Tegas Noor Azam, pihaknya memerlukan maklumat dan kerjasama daripada orang awam dalam usaha membantu polis mengesan kumpulan penjenayah.

Tambahnya, polis percaya geng ini bergerak dan mensasarkan peluang dan ruang yang ada sekiranya terdapat kesempatan melakukan samun.

ARTIKEL BERKAITAN : 'Kalau lewat sesaat, memang ayah dah ditetak'

Khamis lalu, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan berlaku membabitkan antara enam hingga lapan lelaki menaiki motosikal yang bersenjatakan parang dengan mencari sasaran yang berada di perkarangan rumah di kawasan sunyi.

Artikel Berkaitan:

Kes pertama dilapor berlaku kira-kira jam 2.15 petang di mana seorang lelaki yang sedang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal yang mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek RM4,300, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika berada di hadapan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang oleh lapan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Kemudian, kira-kira jam 4.05 petang, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara pula cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan kediamannya.