Apandi Ali sedia selesai kes saman secara mediasi

Apandi sedia menyelesaikan kes samannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan berhubung pemecatan beliau sebagai AG, secara baik (proses mediasi) di Mahkamah Kuala Lumpur.
Apandi sedia menyelesaikan kes samannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan berhubung pemecatan beliau sebagai AG, secara baik (proses mediasi) di Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedia untuk menyelesaikan kes samannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan berhubung pemecatan beliau sebagai Peguam Negara (AG), secara baik (proses mediasi).

Ketika dihubungi media, Peguam Datuk Abdul Shukor Ahmad berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya kes itu diselesaikan secara mediasi.

Menurutnya, Mohamed Apandi bersedia untuk perbicaraan namun pada masa sama bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan kes tersebut.

Menurutnya, permohonan untuk mediasi sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 21 Mei lalu.

“Sekarang kita masih menunggu jawapan dari AGC,” katanya selepas selesai pengurusan kes itu secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar pada Selasa.

Beliau berkata, mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak mematuhi arahan pengurusan kes antaranya membabitkan fakta yang dipersetujui dan isu yang akan dibicarakan sebelum pengurusan kes selanjutnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 September depan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili pihak kerajaan mengesahkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menerima e-mel daripada plaintif.

Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Tun Mahathir dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Ia atas dakwaan bekas Perdana Menteri itu menyalah gunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang dilantik sebagai Peguam Negara pada tahun 2015 juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya sehingga mendorong berlakunya pelanggaran kontrak.