Kes Covid-19 melonjak 7,654 hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 7,654 kes positif baharu pada Selasa. - Foto Bernama
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 7,654 kes positif baharu pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 7,654 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa dan lebih separuh daripada jumlah itu dilaporkan di Lembah Klang membabitkan Selangor sebanyak 3,260 kes dan 1,550 kes di Kuala Lumpur.

Negeri Sembilan pula dilaporkan sebanyak 698 kes diikuti Kedah (337), Johor (313), Sarawak (286), Melaka (230), Sabah (225), Pulau Pinang (185), Pahang (180) dan Kelantan (118).

Lima negeri dan wilayah merekodkan kes di bawah 100 ialah Perak (94), Labuan (82), Terengganu (61), Putrajaya (33) dan Perlis (dua).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 7,643 pula merupakan penularan dalam negara yang membabitkan 5,486 rakyat tempatan serta 2,157 warga asing.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes positif ialah sebanyak 792,693 dan jumlah kes aktif di seluruh negara meningkat kepada 72,201 kes termasuk 943 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 450 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KKM merekodkan 103 kematian berkaitan Covid-19 yang terdiri daripada 94 rakyat tempatan dan sembilan warga asing.

Dr Noor Hisham memberitahu, berdasarkan data yang dikeluarkan, seorang nenek berusia 100 tahun antara yang meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Pesakit yang turut mempunyai penyakit darah tinggi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor," katanya.

Tambah beliau, kes kematian pada Selasa melibatkan 43 kes di Selangor, Kuala Lumpur (18), Negeri Sembilan (12), Johor (9), Kelantan (6), Pahang (4), Melaka (3), Sarawak (2), Kedah (2), Sabah (1) dan Perak (1)

Selain itu katanya, jumlah keseluruhan kematian ialah 5,677 kes manakala kes sembuh yang dilaporkan sebanyak 4,797 dengan jumlah keseluruhan 714,815 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, 21 kluster baharu Covid-19 dikenal pasti dengan kluster tempat kerja masih menjadi penyumbang tertinggi iaitu 11 kluster.

"KKM turut mengesan 10 kluster komuniti dan satu kluster pusat tahanan.

"Jumlah keseluruhan kluster ialah 2,952 tetapi 2,100 diisytiharkan tamat dan 852 lagi masih aktif," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 negara ialah 1.07 dan Pahang negeri mencacatkan nilai tertinggi iaitu 1.24.

Negeri dan wilayah yang mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.17), Kuala Lumpur (1.10), Selangor (1.09), Melaka (1.08), Kedah (1.06), Pulau Pinang (1.05) dan Sabah (1.04).