Pencemaran kimia di Sungai Sengkang tidak jejas bekalan air

Dr Famey (kanan) melihat lokasi pembuangan sisa bahan kimia yang telah dibersihkan di stor simpanan haram di Kampung Baru, Sengkang, Kulai pada Selasa.
Dr Famey (kanan) melihat lokasi pembuangan sisa bahan kimia yang telah dibersihkan di stor simpanan haram di Kampung Baru, Sengkang, Kulai pada Selasa.
A
A
A

KULAI - Pencemaran yang berlaku di Sungai Sengkang pada malam Sabtu akibat sisa buangan bahan kimia sudah berjaya dikawal dan penduduk di kawasan terbabit tidak perlu bimbang dengan sumber air mereka.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Famey Yusof berkata, selain penduduk di kawasan terbabit, mereka yang mendapatkan sumber air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai juga tidak perlu bimbang kerana bekalan air tidak akan terputus.

"Kejadian ini (tumpahan bahan kimia) telah ditangani pada kadar segera sebelum bekalan air mentah di sungai berkenaan terjejas.

"Selepas mendapat maklumat berhubung kejadian ini, pihak berkuasa terus bertindak mengambil tindakan dengan menutup semua kawasan punca tumpahan, agar ia tidak terus mengalir ke dalam Sungai Skudai.

"Tindakan pantas perlu dibuat kerana di Sungai Skudai terdapat LRA, jadi kita tidak mahu loji itu ditutup walaupun jarak antara LRA terbabit dan lokasi tumpahan sekitar 20 kilometer," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tumpahan bahan kimia itu di Sungai Skudai pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tumpahan bahan kimia: JAS ambil tindakan tegas

Tumpahan bahan kimia itu dikesan pada jam 8.20 malam Sabtu lalu selepas penduduk di Kampung Baru Sengkang mengalami gejala pening dan muntah.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai yang melakukan siasatan kemudiannya mendapati tumpahan bahan kimia tersebut dikesan mengalir ke dalam sungai dari sebuah stor penyimpanan haram bahan kimia di Kampung Baru Sengkang.

Siasatan pihak bomba mendapati terdapat tumpahan bahan kimia iaitu Methyltriocdylam Monium Chloride, Hydrogen Peroxide Solution, N-Methyl Cyclohexylamine hasil ujian daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

Artikel Berkaitan:

Tumpahan bahan kimia yang berwarna kehitaman dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan itu telah mengundang kerisauan dalam kalangan penduduk setempat termasuk tahap keselamatan bekalan air mereka.

Mengulas lanjut, Dr Famey berkata, setakat ini pihak Ranhill SAJ memaklumkan tiada sebarang masalah sama ada bau atau bacaan kualiti air dan lain-lain hal berkaitan.

"Malah di kawasan utama sungai berkenaan juga sudah dibersihkan, apa yang masih boleh dilihat hanyalah lapisan minyak di permukaan air, itu yang kita boleh nampak sedikit berkilat.

"Kotoran itu merupakan kesan daripada tumpahan minyak awal dan bukannya masih ada tumpahan yang berterusan," katanya.