Rebat pengangkutan vaksin Selangor diperluaskan, tanpa had umur

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Program rebat pengangkutan untuk perjalanan mengambil vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor kini dibuka kepada semua tanpa had umur.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini tawaran RM20 bagi perjalanan pergi balik menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab dihadkan kepada rakyat di negeri itu yang berusia 50 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun menurut Amirudin, inisiatif itu diperluaskan selepas mengambil kira keperluan vaksin membabitkan semua individu berusia 18 tahun ke atas.

"Saya dengan sukacita mengumumkan program rebat pengangkutan bagi mendapatkan vaksin dibuka kepada semua lapisan, tidak sebagaimana yang saya umumkan pada 9 Jun lalu bahawa ia terhad kepada 50 tahun ke atas,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya pada Selasa.

Siarang langsung itu sempena Pengumuman Khas dan Upacara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Grab Malaysia secara dalam talian.

Amirudin berkata, inisiatif rebat pengangkutan di bawah Pakej Kita Selangor 3.0 bertujuan memudahkan penerima vaksin mendapatkan pengangkutan ke PPV selain menggalakkan pematuhan jadual masa janji temu yang ditetapkan.

"Sebanyak RM1 juta diperuntukkan melalu program bermula 1 Julai lalu yang bakal memanfaatkan 50,000 individu," katanya.

Pada 9 Jun lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Kita 2.0 memperuntukkan RM551.56 juta meliputi 25 program yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat negeri Selangor.

Artikel Berkaitan: