5,000 masyarakat Siam Kelantan sudah daftar vaksin

Masyarakat Siam di Jubakar Darat,Tumpat hadir seawal jam 9 pagi untuk mendaftar mendapatkan vaksinasi masing-masing.
Masyarakat Siam di Jubakar Darat,Tumpat hadir seawal jam 9 pagi untuk mendaftar mendapatkan vaksinasi masing-masing.
A
A
A

TUMPAT - Seramai 5,000 orang masyarakat siam di negeri ini sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Roslan Wan Hamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor berkata, jumlah tersebut adalah 50 peratus daripada lebih 10,000 masyarakat Siam yang ada di negeri ini.

“Sehingga kini sambutan untuk pendaftaran ini sangat mengalakkan dan kita harap boleh capai sasaran keseluruhan tidak lama lagi.

“Untuk kawasan Jubakar Darat sahaja, seramai 2,000 telah berdaftar dan adalah antara lokasi yang paling ramai diduduki masyarakat Siam,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau melakukan tinjauan Program Outreach di Wat Machimmaran, Jubakar Barat, Tumpat.

Wan Roslan (kiri) berbual dengan seorang penduduk yang hadir mendaftar unuk mendapat vaksinasi di Wat Machimmaran, Jubakar Barat, Tumpat.
Wan Roslan (kiri) berbual dengan seorang penduduk yang hadir mendaftar unuk mendapat vaksinasi di Wat Machimmaran, Jubakar Barat, Tumpat.

Program Outreach itu diadakan selama dua hari bermula Isnin dan dibuka khusus bagi memudahkan masyarakat Siam di kawasan DUN Pengkalan Kubor untuk melakukan pendaftaran vaksin.

Mengulas lanjut, pihaknya melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan tiada rakyat yang terkecuali untuk mendapatkan vaksinasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Wan Roslan berkata, walaupun ada segelintir mereka yang masih ‘takut’ untuk mendapatkan vaksin, namun dengan kerjasama pelbagai pihak akhirnya masyarakat akur dan memahami kepentingan vaksinasi berkenaan.

“Kita pun bersyukur sebab memang kita berharap vaksinasi masyarakat di kawasan ini diselesaikan sebelum musim tengkujuh memandangkan kawasan ini selalu berlakunya fenomena banjir termenung.

“Bila semua sudah divaksin, insya-ALLAH kuranglah sikit kebimbangan kita dan harap semua penduduk akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,”katanya.

Sehingga kini, daripada 189,800 penduduk di Tumpat, sebanyak 10.9 peratus telah menerima vaksin dos pertama dan 6.73 peratus menerima dos kedua.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, penghulu Kampung Jubakar Darat, Ichan Chaunoi ketika ditemui memberitahu, masyarakat Siam di kawasan berkenaan sangat teruja untuk mendapatkan vaksin masing-masing.

“Mujur ada program Outreach, mudahlah sikit kami semua untuk keluar dapatkan vaksin. Nak pergi jauh-jauh tidak boleh, takut Covid-19,”katanya.

Ichan Chaunoi
Ichan Chaunoi