Guru 'korban' gaji bantu murid terjejas Covid-19

Guru PKHEM SK Kampung Gemuroh, Amir Fuurairah Mahmud (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Guru PKHEM SK Kampung Gemuroh, Amir Fuurairah Mahmud (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
A
A
A

KUALA NERUS – Keperitan hidup mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 turut mendapat perhatian guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh di sini.

Seramai 24 guru sekolah tersebut sanggup menyumbang sebahagian gaji bulanan mereka untuk disumbangkan ke Tabung Bantuan PKP yang diwujudkan sejak beberapa bulan lalu bagi membantu murid terjejas.

Pengerusi Tabung Bantuan PKP SK Kampung Gemuroh, Abdul Rahman Abdullah berkata, pihaknya terpanggil untuk mewujudkan tabung sumbangan selepas bersimpati dengan kesusahan dialami oleh keluarga murid.

“Kebanyakan keluarga murid di sekolah ini hanya bekerja kampung dan berpendapatan rendah (B40), ada yang bergelar ibu tunggal dan mereka berdepan kesusahan hidup sejak PKP dilaksanakan

“Menyedari keadaan ini, Guru Besar, Husni Yusof kemudian mencetuskan satu idea dan menggerakkan insiatif supaya tabung PKP diwujudkan agar keluarga murid yang terjejas ini dapat dibantu.

“Alhamdulilah, cadangan ini mendapat sambutan yang baik dari guru-guru yang sanggup dan sukarela sumbangkan sedikit gaji mereka ke dalam tabung,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Abdul Rahman, melalui sumbangan itu pihaknya dapat mengagihkan bantuan bakul makanan berupa beras, minyak masak, gula, tepung dan pelbagai barangan lain kepada penerima melibatkan tiga kampung iaitu Gemuroh, Sungai Ikan dan Banggol Nyior.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan SK Kampung Gemuroh berkata, setakat ini bantuan itu sudah memberi manfaat kepada 50 keluarga terpilih dan agihan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Husni berkata, bantuan itu merupakan fasa kedua selepas agihan pertama dilakukan pada bulan Ramadan lalu melibatkan sumbangan dari guru-guru dan warga SK Kampung Gemuroh.

“Insya-ALLAH, bantuan ini akan diteruskan lagi bergantung kepada sumbangan yang diterima. Saya juga berterima kasih kepada guru dan ustazah yang sanggup sumbang sedikit gaji mereka sendiri untuk bantu ringankan beban keluarga murid.

“Penghargaan sama juga diberikan kepada individu dan pihak yang sama menyumbang, semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung mereka,” katanya.