Lelaki hilang dalam nahas dua bot bertembung

Lokasi kejadian di mana dua buah bot bertembung menyebabkan seorang awak-awak hilang.
Lokasi kejadian di mana dua buah bot bertembung menyebabkan seorang awak-awak hilang.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki hilang selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bot lain berhampiran Pengkalan Jeti Kuala Muda, Sungai Kuala Muda di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 12.30 malam itu, dua buah bot nelayan dilaporkan berlanggar menyebabkan dua lelaki yang berada dalam bot berkenaan terjatuh ke dalam sungai.

Menurutnya, bagaimanapun salah seorang daripada mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lagi dilaporkan hilang.

"Kejadian melibatkan dua buah bot yang mana bot pertama yang dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak.

Mereka baru pulang dari laut selepas menangkap ikan.

"Sementara itu, bot kedua terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak yang baru hendak keluar ke laut untuk menangkap ikan.

"Ketika itu, berlaku pelanggaran antara kedua-dua bot yang menyebabkan seorang awak-awak daripada bot pertama dan seorang awak-awak daripada bot kedua terjatuh ke dalam sungai tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Noorzainy berkata, awak-awak daripada bot pertama berjaya diselamatkan namun seorang lagi gagal ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang gagal ditemui dikenali sebagai Muhammad Azim Zahari berusia 19 tahun.

Bantuan daripada pihak bomba telah diperolehi bagi mengesan mangsa. Hasil siasatan awal, kejadian tersebut berlaku selepas kedua-dua bot bertembung dari arah bertentangan yang mana bot kedua tidak mempunyai lampu.

"Lokasi berkenaan merupakan persisir Sungai Kuala Muda dan sungai tersebut merupakan pertembungan antara sungai dan laut.

Pelanggaran tersebut juga menyebabkan tekong bot kedua mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan," katanya.

Katanya, selepas kejadian tersebut, polis dan bomba giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang namun operasi terpaksa dihentikan pada jam 2 pagi kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.

"Pagi ini usaha mengesan mangsa masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa dikehendaki tampil bagi tujuan mengesan mangsa," katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, kerja mencari dan menyelamat dengan kaedah 'surface searching' sedang dijalankan di lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi pencarian tersebut turut dibantu nelayan setempat.