Sidang khas Parlimen beri peluang bahas langkah tangani Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang khas Parlimen yang akan diadakan pada hujung bulan ini memberi peluang kepada ahli Parlimen untuk berbahas mengenai langkah-langkah menangani pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi hantaran di Twitter justeru mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tujuan berkenaan.

“Saya mengalu-alukan pengumuman YAB TS @MuhyiddinYassin yang Parlimen akan bersidang pada hujung bulan ini. Ia memberi peluang kepada Ahli-ahli Parlimen berbahas tentang langkah-langkah menangani Covid-19.

“Semoga lahir idea-idea segar yang dapat menambah baik langkah-langkah tersebut,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Parlimen bersidang bermula 26 Julai ini: Pejabat PM

Artikel Berkaitan: