X

Kindly register in order to view this article
!

Heroin bernilai RM51,000 dirampas, empat lelaki ditahan

Ramli menunjukkan dadah heroin yang dirampas susulan penahanan empat suspek di Rompin pada Sabtu.
A
A

KUANTAN- Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda sekitar Rompin dan Bera susulan penahanan empat individu di Rompin pada Sabtu.

Susulan penahanan suspek warga tempatan berusia 30 hingga 47 tahun itu, polis menemui dan merampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat 4.6 kilogram bernilai lebih RM51,000.

Turut dirampas wang tunai RM400 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, susulan maklumat, pihaknya melakukan tangkapan pertama kira-kira jam 4 petang melibatkan lelaki berusia 47 tahun di tepi Jalan Kuantan -Seremban, Rompin.

Menurutnya, suspek yang keluar dari sebuah kereta membawa bersama beg berisi dadah berkenaan dan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkait jenayah dan dadah itu berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Susulan penahanan suspek yang bekerja sebagai penyelia ladang itu, polis berjaya menahan tiga individu lain sekitar bandar Muadzam Shah yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Ramli berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah tersebut diperoleh dari pembekal di Lembah Klang dan untuk diedarkan kepada penagih kawasan Felda sekitar Rompin dan Bera.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu.

"Berdasarkan jumlah dadah yang dirampas, ia dibekalkan kepada hampir 10,000 penagih,"katanya.

Tambah beliau, semua suspek yang turut positif dadah kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ramli berkata, dalam tempoh tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang berjaya melakukan tangkapan ke atas 5,311 individu daripada 4,569 kes yang direkodkan.

Menurutnya, daripada jumlah kes tersebut, nilai rampasan dadah mencecah RM3.4 juta manakala nilai sitaan harta pengedar RM3.96 juta.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!