'Patutlah gelabah, bawa dadah rupanya'

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan mencurigakan seorang lelaki ketika melalui sekatan jalan raya di Tol Subang, di sini awal pagi Isnin terungkai apabila polis menemui dadah di dalam beg yang dipakai suspek.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang memandu kereta jenis Proton Persona itu ditahan kira-kira jam 5 pagi di lokasi dan dipercayai menuju ke Subang.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah ketika diminta.

"Polis menemui dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 0.90 gram dan sebotol plastik yang dipercayai diubah suai menjadi alat untuk menghisap dadah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan disyaki terlibat hampir tujuh tahun dengan penagihan dadah.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah," katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawasan Pergerakan 2021," katanya.