200 kaunselor ditempatkan di klinik kesihatan seluruh negara

Dr Adham Baba. - Foto fail Sinar Harian
Dr Adham Baba. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menempatkan seramai 200 kaunselor di klinik kesihatan seluruh negara bagi mengesan dan membuat saringan awal terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental atas pelbagai sebab.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu diambil selari dengan peningkatan kes membabitkan kesihatan mental di negara ini termasuklah berpunca daripada pandemik Covid-19.

"Jadi untuk itu kita telah menempatkan pakar kesihatan keluarga di klinik kesihatan selain daripada merujuk mereka kepada Pusat Mental dan Psikiatri (Mentari)," katanya ketika melancarkan Laporan Peka B40 2019- 2020 secara maya pada Selasa.

Adham berkata, kerajaan melalui KKM juga sentiasa fokus untuk memperkukuhkan institusi hospital kesihatan mental.

Jelas beliau, kementeriannya juga ketika ini sedang memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuat saringan kesihatan mental terhadap pelajar sekolah.

"Kita menambah kerjasama dengan pihak sekolah atau KPM bagi memastikan kita dapat menyaring kes kesihatan mental awal iaitu di peringkat sekolah lagi," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Adham turut memberitahu, kementeriannya turut mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak risiko penularan Covid-19 dalam wad psikiatri susulan pertambahan jumlah pesakit ketika ini.

Katanya, kawalan awal perlu dilakukan kerana dibimbangi ia mampu mencetuskan jangkitan lebih serius sekali gus akan memberi kesan kepada sistem kesihatan negara.

Artikel Berkaitan: