Mahkamah tolak saman pengundi DUN Semenyih halang SPR

177893
177893
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman yang difailkan seorang pengundi berdaftar di kawasan DUN Semenyih terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang ditetapkan pada 2 Mac ini.

Hakim S. M. Komathy membuat keputusan itu di dalam kamar dengan tiada sebarang perintah atas kos terhadap plaintif, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58 tahun.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad, yang mewakili pihak defendan dalam kes ini ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata, mahkamah membuat keputusan itu sebab berpendapat tidak wujud keperluan melibatkan jumlah anggota SPR yang harus hadir dalam memenuhi kuorum untuk membuat sebarang keputusan.

"Oleh itu, mahkamah memutuskan SPR masih boleh menjalankan fungsinya secara sah.

"Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa ketiadaan atau kekosongan sesuatu keanggotaan suruhanjaya tidak akan menjejaskan keputusan yang dibuat," katanya.

Peguam Negara dan Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika ini di mana Hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa SPR dibolehkan untuk berfungsi secara sah walaupun kurang daripada tujuh anggota suruhanjaya.

Dalam kes ini, Azizan mewakili SPR, Pengerusi SPR Azhar Azizan @ Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Plaintif diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan:

Pada Februari lepas, Sabariah memfailkan saman pemula terhadap SPR bagi menghalang suruhanjaya itu daripada mengendalikan PRK DUN Semenyih.

Sabariah dilapor berkata, beliau memutuskan untuk mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu dalam media sosial berkaitan SPR sama ada ia satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tuntutan saman pemulanya, Sabariah memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Jan lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Shaharudin sebelum ini dilapor berkata, pihaknya kekal dengan pendirian bahawa SPR pada 18 Januari lepas tidak wujud dengan hanya seorang pengerusi yang menguruskan hal-hal rasmi suruhanjaya itu selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lepas.

“Kalau kita lihat Perlembagaan negara India, ia membenarkan seorang sahaja untuk mengepalai dan menganggotai suruhanjaya pilihan raya, namun di Malaysia kena ada tujuh orang ahli.

"Kenapa kita rujuk Perlembagaan India, jika kita tidak jumpa nas undang-undang daripada negara Malaya kita boleh merujuk keputusan mahkamah daripada negara-negara Komanwel serta undang-undang negara Komanwel untuk diperbuat perbandingan.

“Hakim perlu ambil masa untuk mempertimbangkan hujahan kami bahawa Fasal 114 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti memastikan bahawa SPR itu boleh menimbulkan keyakinan dan kepercayaan orang awam terhadap perjalanan SPR dan kami hujahkan dengan hanya mempunyai seorang sahaja ahli, SPR tidak akan peroleh kepercayaan orang awam terhadapnya,” katanya. - Bernama