Punggah kotak rokok seludup dalam kebun sawit

Seorang lelaki ditahan bersama rokok seludup di sebuah kebun sawit di Kampung Tengah Gedok, Gemencheh, Tampin pada Isnin.
Seorang lelaki ditahan bersama rokok seludup di sebuah kebun sawit di Kampung Tengah Gedok, Gemencheh, Tampin pada Isnin.
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki tempatan ditahan ketika cuba menyeludup rokok di sebuah kebun sawit di Kampung Tengah Gedok, Gemencheh, di sini pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rozasin Ramlan berkata, suspek ditahan ketika sedang memunggah beberapa kotak ke dalam kereta kira-kira jam 2.30 petang.

"Suspek dilihat sedang memunggah beberapa kotak berwarna coklat dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mazda 5 berwarna putih ke sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Camry berwarna putih.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 530 karton rokok seludup pelbagai jenis tanpa cukai kastam yang sah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan awal terhadap lelaki itu telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Orkid, Gemencheh.

Rokok seludup yang dirampas di sebuah kebun sawit di Kampung Tengah Gedok, Gemencheh, Tampin pada Isnin.
Rokok seludup yang dirampas di sebuah kebun sawit di Kampung Tengah Gedok, Gemencheh, Tampin pada Isnin.

Beliau berkata, pada serbuan itu polis telah menjumpai sejumlah 157 karton rokok seludup tanpa cukai kastam yang sah berserta 17 botol arak disyaki tiruan.

"Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM348,354.48 dan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya.

Rozasin berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya telah berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup yang tidak bercukai di sekitar Gemas dan Tampin.