Lebih 30 PPV skala besar dibuka sebelum 19 Julai

Dengan kewujudan semua PPV ini, ia akan menyumbang kepada 162,822 dos setiap hari. - Foto fail Sinar Harian
Dengan kewujudan semua PPV ini, ia akan menyumbang kepada 162,822 dos setiap hari. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan membuka lebih 30 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi berskala besar di seluruh negara sebelum 19 Julai ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pembukaan pusat itu akan diselaraskan Protect Health Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Beliau berkata, penyelarasan yang dikendalikan ProtectHealth iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh KKM itu diyakini mampu mempercepatkan proses pemberian vaksin di negara ini.

"Keseluruhannya, sebanyak 1,230 PPV telah diwujudkan di bawah ProtectHealth sehingga kini.

"Dengan kewujudan semua PPV ini, ia akan menyumbang kepada 162,822 dos setiap hari, sebagai tambahan kepada PPV yang dikendalikan KKM bermula hari ini, 6 Julai 2021," katanya ketika melancarkan Laporan Peka B40 2019- 2020 secara maya pada Selasa.

Jelasnya, KKM menyasarkan ProtectHealth meningkatkan peratus vaksinasi ke 60 peratus daripada keseluruhan sasaran dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk dicapai sebelum akhir bulan Ogos ini.

"ProtectHealth telah berjaya menjalinkan kerjasama awam dan swasta yang kukuh di mana pihak swasta sekarang telah melibatkan diri dalam pemberian vaksin seluruh negara dengan giatnya.

"Selain itu, ProtectHealth turut diberi mandat sebagai pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dengan mandat pemberian vaksinasi sebanyak 30 peratus daripada jumlah sasaran dalam PICK," katanya.

Artikel Berkaitan: