'Kami tak takut England'

Denmark akan memberikan aksi 100 peratus ketika berdepan England.
Denmark akan memberikan aksi 100 peratus ketika berdepan England.
A
A
A

PENGENDALI Denmark, Kasper Hjulmand menegaskan pasukannya itu tidak bimbang dengan ancaman England dalam aksi separuh akhir Euro 2020 di staium Wembley pada awal pagi Khamis.

Menurutnya, pasukan kendaliannya itu sebelum ini pernah menghadapi perkara lebih menakutkan iaitu hampir berdepan kematian dalam insiden membabitkan serangan jantung ketua pasukan, Christian Eriksen baru-baru ini.

Malah, Hjulmand menyifatkan insiden itu memberikan semangat kepada pemainnya untuk mara ke peringkat separuh akhir dan ketakutan berdepan pasukan gergasi seperti England bukan masalah buat pasukan itu.

"Kami hampir menghadapi kematian dengan cara yang tidak pernah saya harapkan. Kami hampir kehilangan pemain terbaik kami, sahabat kami, nadi pasukan dan bertarung dengan emosi seperti orang gila. Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan, bagaimana menanganinya.

"Kami berusaha mara ke peringkat seterusnya dalam Euro kali ini melalui emosi ini. Kami telah bermain bola sepak yang hebat. Kami telah menunjukkan siapa kami dan saya sangat bangga dengan para pemain.

"Saya juga sangat bangga dengan rakyat Denmark dan sokongan, kasih sayang dan belas kasihan yang mereka berikan kepada kami dan yang telah membantu kami sepanjang masa.

"Saya tidak tahu apakah detik ini dalam kehidupan saya kerana dalam tempoh empat minggu anda menghadapi peperangan emosi dan perlu fokus kepada Euro.

"Ia satu perjalanan yang sukar digambarkan dan jika saya melihat semula apa yang kami lalui pada 10,15 atau 20 tahun akan datang, saya akan katakan ini sesuatu yang gila. Tetapi, sekarang saya fokus kepada perlawanan menentang England di Wembley," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, pertemuan kedua-dua pasukan di Wembley lebih memihak kepada England dengan lima kemenangan, manakala Denmark hanya berjaya meraih dua kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Dalam pada itu, Denmark telah memulangkan semula kuota 5,000 tiket kepada England selepas penyokong pasukan itu menghadapi sekatan perjalanan untuk masuk ke England ekoran Covid-19.

Hjulmand menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak adil dengan England akan memperolehi kelebihan besar dalam perlawanan itu nanti.

"Kami tahu sekarang ini dalam situasi pandemik. Saya harap saya tidak mahu ambil tahu mengenai peraturan kerana amat baik sekiranya penyokong Denmark dapat hadir ke Wembley," katanya.