Kondominium runtuh: 4 lagi mayat ditemukan

Sebahagian bangunan kediaman itu terpaksa dirobohkan bagi memudahkan lagi operasi mencari dan menyelamat. - Foto Reuters
Sebahagian bangunan kediaman itu terpaksa dirobohkan bagi memudahkan lagi operasi mencari dan menyelamat. - Foto Reuters
A
A
A

FLORIDA - Angka kematian akibat runtuhan bangunan kondominium berhampiran Miami bulan lalu meningkat kepada 28 orang dengan penemuan empat lagi mayat pada Isnin, lapor United Press International (UPI) memetik pegawai tempatan.

Anggota bomba menjumpai tiga lagi mayat selepas sebahagian lagi struktur bangunan Champlain Towers South di Surfside, Florida dirobohkan pada Ahad, kata Datuk Bandar Miami-Dade County Daniella Levine Cava.

Sebahagian bangunan kediaman itu terpaksa dirobohkan bagi memudahkan lagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pada petang Isnin, mayat keempat ditemui oleh anggota SAR.

"Dengan penemuan terbaharu itu, seramai 117 penghuni masih belum dapat dikesan," katanya kepada wartawan.

Sebahagian bangunan kondominium itu diletupkan kira-kira 10.30 malam Ahad sejurus sebelum Ribut Tropika Elsa melanda, yang dijangka akan menjejaskan SAR.

Struktur bangunan 13 tingkat itu runtuh dalam masa lima saat.

Setakat ini, 28 mayat termasuk tiga kanak-kanak telah ditemui di bawah runtuhan.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian bangunan 13 tingkat yang mempunyai 130 unit kediaman itu runtuh 24 Jun lalu. - Bernama