Kemas kini alamat, elak gagal bayar cukai tanah

Nawal Mohamed Amin
Nawal Mohamed Amin
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Pejabat Daerah dan Tanah Jempol mendapati beberapa isu kegagalan membayar cukai tanah berlaku akibat kurangnya komunikasi di antara pemilik rumah sewa dan penyewa rumah.

Pentadbir Tanah Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Nawal Mohamed Amin berkata, apabila surat peringatan tentang tunggakan cukai tanah dikeluarkan kepada alamat pemilik, didapati yang tinggal di alamat itu adalah penyewa.

"Selain itu selalu juga berlaku pemilik yang membeli rumah di sekitar Bandar Bahau melalui pinjaman LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) tidak mengemas kini alamat mereka selepas berpindah tempat kerja dan menyangka bil cukai tanah dijelaskan oleh pihak LPPSA.

"Justeru, Pentadbir Tanah Daerah menyeru kepada semua pemilik tanah di Jempol untuk mengemas kini alamat perhubungan masing-masing termasuk nombor telefon bimbit bagi memudahkan sebarang urusan di Pejabat Tanah Daerah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, bil cukai tanah adalah tanggungjawab pemilik tanah walaupun rumah tersebut dibeli melalui pinjaman LPPSA dan disewakan.

Ujarnya, berikutan tarikh pelanjutan pembayaran cukai tanah telah tamat pada 30 Jun lalu, pemilik tanah yang belum membuat pembayaran cukai boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian sebahagian daripada denda lewat kepada Pentadbir Tanah Daerah.

"Urusan bayaran di kaunter dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini hanyalah melalui janji temu dengan menghubungi talian 06-4585077," katanya.

Sementara itu Nawal berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Jempol berjaya mencapai sasaran kutipan cukai RM11.5 juta pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sasaran itu berjaya dicapai apabila pemilik-pemilik tanah membuat bayaran cukai sebelum tamat tempoh lanjutan yang diberikan baru-baru ini iaitu sehingga 30 Jun.