Jajaran baharu UMNO-PH bukan kerana janji manis

Tangkap layar ciapan laman sosial Twitter Shamsul Iskandar pada 3 Julai lalu menjelaskan kerjasama UMNO-PH-BN dibentuk melangkaui kepentingan politik, sebaliknya demi rakyat.
Tangkap layar ciapan laman sosial Twitter Shamsul Iskandar pada 3 Julai lalu menjelaskan kerjasama UMNO-PH-BN dibentuk melangkaui kepentingan politik, sebaliknya demi rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha pembentukan jajaran politik di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan baharu kelak, bukanlah berasaskan ‘janji manis’ demi meraih sokongan majoriti ahli Parlimen.

Setiausaha Politik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menegaskan, usaha menyelamatkan negara daripada kerosakan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu adalah persetujuan bersama kesemua parti terlibat dengan matlamatnya adalah lebih daripada kepentingan politik.

Jelasnya, Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membantu rakyat keluar daripada kemelut ekonomi sepanjang krisis Covid-19 dan usaha pembentukan kerajaan baharu adalah demi mengotakan janji kepada rakyat.

Farhash Wafa
Farhash Wafa

“Usaha menyelamatkan negara daripada kerajaan PN adalah persetujuan bersama yang matlamatnya lebih daripada kepentingan politik.

“Rakyat sudah cukup merana dan harapan diletakkan kepada seorang Perdana Menteri yang mampu mengubah corak pentadbiran negara iaitu Anwar.

“Pada masa ini, Anwar hanya mahu membantu rakyat keluar daripada kemelut ekonomi pasca Covid-19 dengan sebaik mungkin.

Jajaran politik baharu untuk membentuk kerajaan baru bukanlah berdasarkan janji manis demi sokongan tetapi demi janji pada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas laporan media tempatan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa memberi keyakinan kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang parti itu akan kembali menjadi ‘Perdana Menteri’ dalam jajaran baharu kelak.

Langkah Ahmad Zahid itu tidak disenangi oleh 35 ahli Parlimen UMNO yang kemudian didakwa mengadakan pertemuan pada Jumaat malam dan bersetuju dengan resolusi sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, Mac lalu.

Ia disahkan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menegaskan kesemua ahli Parlimen UMNO terlibat bersetuju untuk kekal dalam kerajaan PN sehingga Parlimen bubar.