England mahu tamatkan 'sumpahan' separuh akhir

Southgate (kanan) tekad bawa England ke pentas final.
Southgate (kanan) tekad bawa England ke pentas final.
A
A
A

ENGLAND sudah bersedia untuk menamatkan 'sumpahan' separuh akhir ketika menentang Denmark dalam aksi Euro di Stadium Wembley pada awal pagi Khamis.

Pengendali England, Gareth Southgate berkata, The Three Lions sudah tidak mahu kempunan lagi gagal mara ke final selepas kali terakhir ketika mereka memenangi Piala Dunia pada tahun 1966.

"Kami telah mengatasi banyak 'hoodoo' atau rintangan yang sukar dan para pemain merasakan ini adalah cabaran seterusnya dalam perjalanan kami.

"Saya rasa perkara yang menarik bagi kami adalah kami tidak akan rasa puas sepenuhnya jika hanya mara ke peringkat separuh akhir. Kami juga melalui kekecewaan besar dalam aksi separuh akhir Piala Dunia pada tiga tahun lalu.

"Ini masanya untuk kami buktikan dan kami telah tunjukkan dengan mara ke separuh akhir. Tetapi, ia belum cukup dan saya lihat semangat itu sangat positif dalam diri setiap pemain," katanya.

England hanya memenangi sekali kejohanan utama di peringkat antarabangsa iaitu kejohanan Piala Dunia pada 1966 dan dikecewakan dua kali di peringkat separuh akhir ketika saingan Euro 1996 dan ketika Piala Dunia Rusia pada 2018 yang lalu.

Southgate mengakui akan menjadi tekanan besar buat pasukannya untuk menamatkan sumpahan separuh akhir tersebut, namun menjelaskan semangat 60,000 penyokong di Wembley akan membantu misi untuk memastikan England melangkah ke final.

"Sesuatu yang sangat bagus untuk kembali ke sini (Wembley). Untuk pergi ke venue lain dan mempunyai persekitaran, persiapan, fokus yang berbeza pasti membantu. Tetapi sekarang untuk kembali ke Wembley adalah perkara yang baik bagi kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Southgate juga tetap berwaspada dengan ancaman Denmark walaupun atas kertas The Three Lions mempunyai kelebihan untuk menguasai pentas separuh akhir itu.

"Denmark mempunyai ikatan kuat dan kita boleh lihat ketika insiden membabitkan Christian Eriksen baru-baru ini. Ia menjadi semangat untuk mereka mara sehingga ke peringkat ini.

"Kekuatan itu yang perlu kami waspada dan sudah tentu kami perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi mereka," katanya.