Muda Pahang sokong usaha banteras penerokaan tanah haram

Ahmad Zarul Afiq Arifudin
Ahmad Zarul Afiq Arifudin
A
A
A

KUANTAN-Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pahang menyokong penuh usaha kerajaan negeri Pahang membanteras penerokaan tanah secara haram di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Ahmad Zarul Afiq Arifudin berkata, pihaknya turut menyokong usaha penguatkuasaan agensi-agensi kerajaan sebagaimana yang dijalankan dalam membanteras kebun durian haram dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam ketika ini.

Menurutnya, pihak penguat kuasa perlu terus berkhidmat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Muda Pahang secara konsisten membantah penerokaan tanah secara haram ataupun "halal" yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar sehingga memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat.

"Pekebun haram juga disaran supaya tidak melangkaui batas undang-undang dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu lebih tegas tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Zarul Afiq berkata, kerajaan negeri juga perlu secara konsisten menolak permohonan baharu penerokaan hutan dan perlombongan yang melibatkan kawasan hutan simpan kekal di negeri ini.

"Kerajaan harus sedar perkara ini berlaku disebabkan kegagalan tadbir urus yang telah lama berakar.

Artikel Berkaitan:

"Kerana kegagalan itu, khazanah negeri dirompak dan bencana alam yang berlaku menjejaskan kelestarian kehidupan rakyat," katanya.