Sumbangan vaksin: Agong zahir penghargaan kepada AS

Al Sultan Abdullah
Al Sultan Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi laman rasmi Facebook Istana Negara pada Selasa turut menyampaikan ucapan terima kasih Al-Sultan Abdullah kepada Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” titah baginda menerusi laman sosial itu hari ini.

Malaysia pada Isnin menerima sejuta dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech sumbangan AS untuk terus menjayakan PICK yang rancak berlangsung ketika ini.
Malaysia pada Isnin menerima sejuta dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech sumbangan AS untuk terus menjayakan PICK yang rancak berlangsung ketika ini.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negara ini supaya bersama-sama berdoa agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Pada Isnin, sebanyak 1 juta dos vaksin jenis Pfizer BioNTech sumbangan AS tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.10 pagi menerusi penerbangan Raya Airways, sehari selepas negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-245 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada 80 juta dos dijanjikan oleh Presiden AS Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia bakal terima 1 juta dos Pfizer esok

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat bawa 1 juta vaksin Pfizer sumbangan AS selamat mendarat