Tujuh ahli Skuad Badar didakwa

Azhar bersama peguam Mohd Amirul dan Muhammad Arif (kanan) sebelum pertuduhan.
Azhar bersama peguam Mohd Amirul dan Muhammad Arif (kanan) sebelum pertuduhan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tujuh ahli Skuad Badar termasuk Pengerusi, Azhar Mohamad, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini kerana melanggar Akta Pertubuhan 1966.

Azhar, seorang pesara tentera didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 September 2017 sehingga 13 Januari 2019.

Mengikut pertuduhan, dia didapati menjadi anggota Skuad Badar yang merupakan sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan bertempat di Pejabat Skuad Badar, Bandar Seri Astana, Sungai Petani,

Akibat perbuatan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 di mana sekiranya didapati bersalah hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Azhar ditemui di pekarangan luar Mahkamah Majistret Sungai Petani sebelum pendakwaan.
Azhar ditemui di pekarangan luar Mahkamah Majistret Sungai Petani sebelum pendakwaan.

Selain Azhar, Timbalan pengerusi, Muhaamad Hasmadi Othman,40, Setiausaha, Muhamad Faris Na'im Ahmad Faizal, 21, dan Bendahari, Muhamad Farid Nazmi Ahmad Faizal, 25, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi ahli biasa termasuk Johari Awang, 51, Shahrul Nizam Shahrin, 35, dan Shahidan Zakaria, 48, turut dihadapkan ke mahkamah mengikut akta yang sama.

Selain Azhar, enam lagi ahli Skuad Badar yang didakwa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan.
Selain Azhar, enam lagi ahli Skuad Badar yang didakwa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nordiyanasari Omar di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Amirul Ramli dan Muhammad Arif Shaharuddin.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin namun rayuan peguam dibenarkan dengan wang jaminan direndahkan kepada RM2,000 dan seorang penjamin setiap seorang.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan bagi serahan dokumen.