30 tahun tinggal dalam pondok usang, guna air hujan

Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.
Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.
A
A
A

SLIM RIVER - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan mengenai keadaan seorang lelaki warga emas yang hidup bersumberkan air hujan di dalam pondok di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Trolak-Slim River di sini.

Rashid Mat Sah, 65, mengakui dia tinggal di dalam sebuah pondok di hutan tersebut kira-kira 30 tahun lalu yang dibinanya sendiri menggunakan zink dan kayu terpakai.

Lebih menyayat hati, lelaki yang mengakui hidup sebatang kara itu tinggal bertemankan 15 ekor anjing di dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 1.5km dari jalan besar.

"Saya tinggal di sini hampir 30 tahun. Selepas ayah meninggal, saya merantau ke Perak ikut orang kerja dari Kota Tinggi, Johor sampailah ke sini.

Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.
Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.

"Sepanjang duduk di sini saya tak pernah keluar walaupun ke kedai sebab tak ada kad pengenalan, jadi memang saya tak berani nak keluar dari sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pondoknya, di sini pada Isnin.

Rashid berkata, dokumen pengenalan dirinya tiada sejak lahir dan selepas bapanya meninggal manakala ibunya pula tidak dapat dikesan membuatkan dia terpaksa tinggal bersama nenek sebelum merantau.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kehidupannya, dia menjelaskan semua barang-barang keperluan makanan dibeli menerusi pemilik kebun berhampiran dan memasak menggunakan dapur kayu.

Jelasnya, duit diperoleh dengan bekerja mengambil upah menjaga kebun berhampiran pondok yang dibina di atas tanah pemilik kebun terbabit.

"Kalau boleh saya nak sangat ada kad pengenalan. Bukan apa, senang saya nak keluar beli barang-barang. Tak ada rasa takut nak pergi mana-mana. Sekarang ini memang saya tak tahu apa yang berlaku di luar.

"Tapi saya tetap nak duduk sini sebab dah biasa dengan tempat ini. Biarlah saya kerja jaga kebun ini pun tak apa," katanya.

Rashid (kanan) menerima kunjungan pegawai JKM Slim River yang datang melihat keadaan serta mengambil maklumat mengenainya.
Rashid (kanan) menerima kunjungan pegawai JKM Slim River yang datang melihat keadaan serta mengambil maklumat mengenainya.

Dalam pada itu, keadaan kesihatan Rashid juga tidak begitu sempurna apabila menghidap masalah kulit yang dipercayai berpunca daripada anjing yang dibelanya.

Sementara itu, seorang pemilik ladang berhampiran, Dr PK Velayudhan, 54 berkata, dia antara individu yang mengambil berat tentang Rashid dengan membantu membeli barang-barang keperluan.

Menurutnya, pihak berkaitan diharap segera membantu individu berkenaan dari segi mendapatkan dokumen pengenalan diri serta penjagaan kesihatan warga emas terbabit.

Video mengenai kehidupan Rashid itu sebelum ini tular selepas didedahkan Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia, Dr Santharasekaran yang menemui lelaki terbabit.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz yang dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya sudah pun mengambil maklum tentang keadaan Rashid.

Beliau berkata, seorang pegawai Pejabat Pusat Khidmat ADUN Slim, Nazri Hashim telahpun ke kebun berkenaan melihat sendiri masalah yang dihadapi.

Santharasekaran (kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada Rashid.
Santharasekaran (kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada Rashid.

"Saya sedang usahakan bentuk bantuan yang diperlukan. Buat masa ini saya nak pantau keadaan kesihatannya terlebih dahulu sebab dia mengadu gatal-gatal dan sakit kulit.

"Kita juga akan bantu untuk bersihkan kawasan pondok penginapan, bantuan keperluan dapur seperti dapur gas, periuk, pinggan mangkuk, bekalan air minum dan makanan," katanya.

Selain wakil ADUN, pihak Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Slim River turut turun padang mendapatkan maklumat mengenai Rashid di pondok berkenaan.