Rakaman aksi wheelie bawa padah

Dua remaja lelaki berusia 15 tahun yang melakukan aksi wheelie ditahan polis pada Isnin, selepas video aksi itu dikesan dan tular di media sosial.
Dua remaja lelaki berusia 15 tahun yang melakukan aksi wheelie ditahan polis pada Isnin, selepas video aksi itu dikesan dan tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakaman aksi 'wheelie' dua remaja yang masih bersekolah di dua lokasi berasingan hingga tular di media sosial mengundang padah apabila dicekup polis pada Isnin.

Timbalan Pengarah (I) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, dua rakaman video aksi mengangkat tayar hadapan berulang kali yang berdurasi 22 dan 30 saat itu dikesan menerusi media sosial Twitter.

"Siasatan mendapati rakaman video pertama berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada Ahad di Jalan Sungai Tua menghala ke Ulu Yam di mana aksi wheelie itu dilakukan seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5.

"Bertindak hasil maklumat, menerusi Ops Samseng Jalanan oleh Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman telah menahan penunggang terbabit iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun di kediamannya di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor kira-kira jam 2.45 petang pada Isnin," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bagi video kedua pula, kejadian itu dikesan berlaku kira-kira jam 1 petang, pada 29 Jun di Jalan Gombak menghala Kuala Lumpur.

Katanya, paparan video itu menunjukkan seorang lelaki melakukan aksi wheelie menggunakan motosikal Yamaha 135LC.

"Susulan itu, kira-kira jam 3 petang pada Isnin, remaja lelaki berusia 15 tahun dicekup di rumahnya di Taman Harmonis Gombak, Selangor," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua remaja dengan rampasan motosikal itu telah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.