X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Piala AFC: Masih belum batal lagi

Windsor Paul
A
A

PEMBATALAN secara rasmi empat saingan kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 membabitkan dua wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC) akan diketahui selewat-lewatnya Rabu ini, kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Windsor berkata, AFC mempunyai masa sehingga Rabu untuk menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan bagi menganjurkan saingan kumpulan itu yang sepatutnya berlangsung 29 Jun hingga 6 Julai sebelum keputusan berhubung pembatalan dimuktamadkan.

“Jawatankuasa pertandingan sudah buat keputusan mana-mana saingan kumpulan yang tiada tuan rumah boleh dibatalkan. Kita akan maklumkan dalam dua hingga tiga hari lagi, kalau tanya hari ini (rasmi dibatalkan) belum lagi, surat masih belum keluar.

“Masih ada beberapa hari untuk kita (AFC) terima jika ada mana-mana pasukan boleh beri tawaran menjadi tuan rumah,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

KDA FC dan TFC masing-masing diundi dalam Kumpulan H dan I saingan kejohanan itu sementara dua lagi kumpulan yang turut berdepan pembatalan adalah Kumpulan D dan G.

Pada Mei lepas, Singapura menarik diri daripada menganjurkan saingan Kumpulan H dan I Piala AFC 2021 berikutan situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu di rantau ini, sekali gus menjadikan perjalanan masuk ke republik itu agak mencabar bagi pasukan dari luar negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini turut dilaporkan tidak berhasrat memohon untuk menjadi tuan rumah bagi saingan kumpulan tersebut berdasarkan situasi semasa Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, AFC dalam kenyataan pada Isnin berkata, perlawanan di semua peringkat yang tidak boleh dimainkan disebabkan perkara yang timbul akibat pandemik Covid-19 akan dibatalkan dan pembatalan sedemikian akan diiktiraf sebagai ‘force majeure’ atau tidak diduga atau dikawal.

“Kalau dulu pasukan tidak tahu ia akan dibatalkan, sekarang mereka sudah tahu jadi mungkin mana-mana pasukan ada perkembangan terbaru untuk menjadi tuan rumah, kita alu-alukan kalau tidak kita terpaksa batalkan,” tambah Windsor. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!