PM Thailand jalani kuarantin di rumah selepas berswafoto

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menjalani kuarantin di rumah selama seminggu selepas menjadi kontak rapat seorang ahli perniagaan yang disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

Prayuth menjadi kontak rapat dengan Ketua Dewan Perdagangan Surin, Veerasak Pisanuwong yang berswafoto dengan perdana menteri itu ketika upacara pembukaan semula Phuket 1 Julai lalu.

Veerasak kemudian melalui hantaran di Facebook menasihati mereka yang menjadi kontak rapatnya menjalani kuarantin kendiri.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Prayuth yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 AstraZeneca didapati negatif pagi ini.

"Perdana menteri akan menjalankan tugasnya seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand melaporkan 6,166 kes baharu Covid-19 dan 50 kematian. Secara keseluruhan Thailand setakat ini mencatatkan 289,233 kes dan korban seramai 2,276.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada kes baharu itu 6,154 adalah jangkitan tempatan termasuk 2,109 melalui pengesanan kes aktif dan 12 kes import.

Beliau berkata Bangkok yang menjadi pusat penularan wabak melaporkan 1,729 kes baharu, diikuti Samut Prakan (411), Samut Sakhon (389), Pathum Thani (352) dan Songkhla (318).

Artikel Berkaitan:

Mengenai kes kematian pula ia melibatkan 34 lelaki dan 16 wanita berusia antara 28 hingga 91 tahun termasuk di Bangkok seramai 17, Nonthaburi (sembilan), Samut Prakan (enam) dan Chachoengsao (tiga).

Di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19, pihak berkuasa mempergiat usaha mendirikan lebih banyak hospital medan serta menambah lebih banyak katil hospital.

Pengarah Bahagian Berita, Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Pensom Lertsithichai berkata, lebih 90 peratus katil hospital di Bangkok sudah digunakan.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Awam menambah 1,500 lagi katil di hospital medan Bussarakham, di Impact Nonthaburi Muang Thong Thani.

Beliau berkata lebih 30 wilayah akan menerima pesakit Covid-19 yang bekerja di Bangkok bagi mengatasi masalah kekurangan katil, selain pesakit balik ke kampung halaman masing-masing untuk menerima rawatan di bawah inisiatif 'No One Left Behind'.

"CCSA turut mengarahkan Bangkok Metropolitan Authority (BMA) membuka 20 lagi pusat pengasingan untuk menampung pesakit Covid-19 yang sedang menunggu untuk dimasukkan ke wad," katanya.

Di Pattani, selatan Thailand, pihak berkuasa kesihatan akan membuka 15 hospital medan baharu di 12 daerah untuk menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Dr Rusta Salaeh yang bertanggungjawab mengawal selia hospital medan berkenaan berkata hospital itu mampu menampung sekitar 100 pesakit.

"Hospital medan itu dijadual dibuka dalam satu atau dua minggu lagi," katanya kepada Bernama. - Bernama