X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang gagal patuhi SOP cetus Kluster Industri 121 Kuala Baram

Gambar hiasan -Foto Bernama
A
A

KUCHING - Sebuah kilang papan lapis di Kuala Baram di Miri yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung jumlah pekerja yang dibenarkan untuk beroperasi telah mencetuskan satu kluster baharu Covid-19 di Sarawak apabila 113 kes positif dikesan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa Kluster Industri 121 Kuala Baram itu melibatkan kuarters pekerja kilang terbabit, merupakan antara tiga kluster baharu diisytiharkan Jabatan Kesihatan Sarawak.

“Daripada 113 kes tersebut, 107 terdiri daripada bukan warganegara dan enam warganegara Malaysia dari Sarawak. Kuarters pekerja kilang tersebut diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 1 hingga 15 Julai melibatkan kira-kira 210 orang bagi mengekang perebakan jangkitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut notis perintah tutup selama 14 hari dari 5 hingga 15 Julai serta kompaun RM10,000 telah dikeluarkan kepada pengurusan kilang atas kesalahan gagal memastikan bilangan pekerja kurang daripada 50 peratus mengikut kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Dua lagi ialah Kluster Sungai Sebetan melibatkan 45 kes positif dikesan dalam kalangan penduduk sebuah rumah persendirian dan sebuah rumah panjang di Sungai Sebetan, Saratok serta Kluster Sega yang melibatkan beberapa keluarga di Kampung Sega, Bau dengan 17 kes positif.

Pada Isnin, Sarawak merekodkan 424 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 66,985.

Menurut JPBN, beberapa lokaliti di Bintulu, Sri Aman, Saratok dan Sarikei turut dikenakan PKPD yang melibatkan bilik sewa atas Kedai Lau Hoi Chew, Parkcity Commercial Centre (Bintulu), bilik sewa atas Kedai V-12, Assyakirin Commercial Centre (Bintulu) dari 4 hingga 18 Julai.

PKPD turut dikenakan di lokaliti Rumah Kunjang Sembayang Ban (Sri Aman) dari 5 hingga 18 Julai manakala Rumah Dunggau (Saratok) dan Rumah Tapoi (Sarikei) dari 6 hingga 22 Julai. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!