Suspek kes tetak anak saudara disahkan meninggal dunia

Laporan Sinar Online pada Ahad berhubung kejadian seorang lelaki menetak anak saudaranya di Kuala Selangor.
Laporan Sinar Online pada Ahad berhubung kejadian seorang lelaki menetak anak saudaranya di Kuala Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Lelaki yang dipercayai menetak anak saudaranya sehingga mati di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor pada Ahad disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 27 tahun meninggal dunia pada jam 6.37 petang hari yang sama.

Menurutnya, ahli keluarga suspek juga sudah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Proses bedah siasat akan dijalankan seberapa segera selepas pihak hospital mendapat keputusan ujian saringan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Arjunaidi berkata, satu laporan polis telah dibuat keluarga suspek agar siasatan dibuat bagi mendapatkan punca sebenar kematian.

Susulan laporan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan dengan menumpukan kepada aspek prosedur operasi standard (SOP) 'duty of care' dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek ditahan polis pada jam 1.30 petang Ahad di tempat kejadian dan sebilah parang panjang yang digunakan lelaki itu turut dirampas.

"Tangkapan awam dilakukan oleh ahli keluarga suspek. Semasa tangkapan semula dibuat, polis mendapati suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan dengan ahli keluarga yang mahu menangkapnya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak perempuan maut ditetak bapa saudara

"Suspek kemudian dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut, namun lebih kurang jam 4 petang, suspek didapati berada dalam keadaan amat lemah dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang menggunakan ambulans," katanya.

Sebelum itu, katanya, pada jam 12.25 tengah hari Ahad, IPD Kuala Selangor menerima panggilan MERS 999 memaklumkan berlaku pergaduhan keluarga di Kampung Parit Mahang Jeram.

"Pergaduhan tersebut mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 8 bulan akibat ditetak oleh bapa saudaranya, manakala ibu kepada kanak-kanak berkenaan turut mengalami kecederaan.

"Pergaduhan ini melibatkan sesama ahli keluarga yang berpunca daripada isu kewangan," jelas beliau.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang kanak-kanak perempuan maut selepas bertarung nyawa akibat ditetak bapa saudaranya dalam kejadian di sebuah kampung di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika itu berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.