X

Kindly register in order to view this article
!

Warga Thailand cuba lolos rempuh bot Polis Marin

Gambar hiasan.
A
A

TUMPAT - Dua lelaki warga Thailand yang bertindak merempuh bot milik Pasukan Polis Marin (PPM) dalam cubaan melarikan diri berjaya ditahan dalam kejadian di Sungai Mentua dekat Pengkalan Kubor, tengah malam Ahad.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asistan Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, suspek masing-masing berusia 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan.

Beliau berkata, semasa melakukan tugas rondaan menggunakan bot ronda PAC 7 berhampiran Jambatan Kampung Mentua, anggota PPM telah mengesan pergerakan yang disyaki kesan daripada bot penyeludup.

“Dalam jarak 500 meter, pasukan operasi mengesan sebuah bot enjin galah yang disembunyikan dalam semak bersama dua lelaki berada di dalam bot itu. Sebaik anggota memperkenalkan diri bot enjin galah itu meluru keluar dengan laju untuk melarikan diri.

"Pasukan operasi bertindak mengejar dan cuba merapat tetapi pemandu bot telah memandu dengan cara berbahaya tanpa mengendahkan arahan untuk berhenti sebelum merempuh bot milik PPM," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Rudzuan, berlaku situasi kelam kabut, namun kedua-dua suspek berjaya ditahan dan ketika pemeriksaan mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan disyaki masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan selain positif dadah jenis methamphetamine.

Berikutan itu, pasukan operasi bergerak masuk semula ke kawasan Sungai Mentua untuk membuat pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut dan menemukan sejumlah cecair kodein dan daun ketum.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah RM62,000 termasuk enjin dan bot (RM30,000), 200 liter cecair kodein (RM20,000), 110 kilogram (kg) daun ketum (RM11,000) serta telefon bimbit (RM1,000).

"Kami percaya kesemua daun ketum dan cecair kodein itu cuba untuk diseludup keluar ke Thailand kerana terdapat permintaan tinggi di sana," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952 (2 Kes) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 195/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!