KBS umum tujuh inisiatif bantu industri sukan, rekreasi

REEZAL MERICAN
REEZAL MERICAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Isnin mengumumkan Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) merangkumi tujuh inisiatif untuk membantu industri sukan serta rekreasi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, KBS juga akan mewujudkan Sekretariat Prihatin Kementerian Belia dan Sukan (SPIKE) dalam membantu pihak seperti operator gimnasium, pusat kecergasan, padang bola komersial, gelanggang badminton, pusat boling, lapang sasar dan padang golf yang tidak dapat beroperasi sejak 16 bulan lepas.

Beliau berkata, ia selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Katanya, inisiatif pertama ialah Geran Prihatin Industri Sukan (GPIS) melibatkan dana RM18 juta menerusi bantuan sekali beri RM3,000 yang akan memanfaatkan 6,000 syarikat atau perniagaan berdaftar berkaitan industri sukan.

Reezal Merican yang memaklumkan perkara itu dalam kenyataan pada Isnin berkata,. pemain industri boleh menghantar permohonan melalui laman sesawang khas GPIS bermula Isnin menerusi pautan gpis.kbs.gov.my.

KBS juga mengumumkan Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS), yang melibatkan dana sebanyak RM20 juta, akan ditambah baik bersama dua institusi pembiaya iaitu Bank Rakyat dan TEKUN Nasional bagi membolehkan kadar peratusan lebih rendah dapat dipertimbang untuk diberikan kepada pemain industri.

Bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu berkaitan sukan, KBS menawarkan kursus berkaitan sukan termasuk Program Asas Kejurulatihan, Komunikasi Ke Arah Profesionalisme Dalam Sukan, Program Bootcamp Perkhidmatan Golf dan Urutan secara percuma.

KBS turut mengumumkan moratorium bagi pemain industri sukan, insentif sewaan dan operator perniagaan fasiliti sukan KBS, kuota MyVAC khusus untuk pekerja industri sukan melalui program MYVAC@SPORTSINDUSTRY dan Program Vaksinasi Industri Sukan (SPORTIVAC).

Artikel Berkaitan:

Reezal Merican berkata, satu-satunya jalan untuk keluar daripada kesukaran yang dihadapi ialah melalui pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi namun ia bergantung kepada kejayaan negara melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dirancang.

“KBS amat memahami segala kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha industri sukan sepertimana banyak industri lain yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Kami meneliti dan hargai setiap laporan, maklum balas, pernyataan rayuan dan keresahan daripada pihak industri sukan.

“KBS akan terus berusaha meneroka ruang dan peluang untuk membantu dan memberikan sokongan kepada semua. Saya berharap agar kalangan pengusaha, para usahawan sukan dan rekreasi serta pekerja industri sukan dapat menerima manfaat langsung daripada pelbagai inisiatif kerajaan dan KBS ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif itu boleh didapati di laman sesawang rasmi KBS www.kbs.gov.my/ipbs atau SPIKE di talian 03-8871 3784 pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang. - Bernama