Puad Zarkashi yakin UMNO akan keluar kerajaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin parti itu tetap akan memuktamadkan keputusan untuk menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selewat-lewatnya sebelum 1 Ogos hadapan.

Keyakinan Puad itu diutarakan kepada Sinar Harian meskipun pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat serta tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

Jelas beliau, keyakinan itu dilontarkannya setelah setiap ahli MKT UMNO telah membuat pendirian dan keputusan masing-masing, dengan majoritinya dipercayai menyokong parti untuk 'pull the plug' lebih awal sebelum 1 Ogos hadapan.

Tambah Mohd Puad, beliau turut percaya satu mesyuarat MKT secara maya akan diadakan dalam masa terdekat untuk memuktamadkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan PN selepas tamat tempoh darurat pada 1 Ogos atau tarikh-tarikh bersesuaian dengan situasi politik semasa.

"Biro Politik UMNO memang memberi tempoh 14 hari untuk kerajaan PN memenuhi kata dua kami supaya sidang Parlimen dibuka semula secepat mungkin. Ia tamat hari ini, tetapi oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD), maka tarikh mesyuarat belum dapat ditentukan lagi.

"Saya yakin MKT UMNO akan bermesyuarat secara maya dalam masa terdekat untuk memuktamadkan keputusan PAU UMNO 2020 iaitu parti akan tetap menarik balik sokongan daripada kerajaan PN paling lewat 1 Ogos 2021," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen bersidang bermula 26 Julai ini: Pejabat PM

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan susulan yang bakal diambil UMNO setelah tempoh kata dua diberikan kepada kerajaan PN untuk melaksanakan sidang Parlimen secepat mungkin selama 14 hari, tamat pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, Mohd Puad menjelaskan pendirian UMNO untuk 'pull the plug' daripada kerajaan PN bukan perkara luar biasa kerana keputusan itu sudah dibuat lama semasa PAU 2020.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat turut yakin mesyuarat MKT yang akan diadakan dalam masa terdekat sekadar formaliti bagi memuktamadkan pendirian setiap ahli MKT UMNO, termasuk mereka yang bergelar ahli Parlimen.

"Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bahawa sidang Parlimen akan diadakan selama 5 hari mulai 26 Julai tidak mengubah apa apa pendirian ahli MKT.

"Alasan UMNO adalah jelas. Ia berpunca kegagalan kerajaan hari dalam serba-serbi perkara terutama dalam aspek mengurus ancaman pandemik dan ekonomi negara.

"UMNO tidak mahu terpalit dengan kegagalan Kerajaan PN, apatah lagi sikap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu mendengar pandangan UMNO sebelum ini. Contoh jelas adalah gesaan bank menawarkan moratorium automatik dan pukal," katanya.

Ditanya mengenai status penolakan 35 ahli Parlimen UMNO yang dijangka bakal menolak ketetapan UMNO untuk keluar kerajaan PN sekiranya dimuktamadkan, Mohd Puad yakin dakwaan itu tidak tepat dan sekadar propaganda pihak tertentu.

"Bahkan saya yakin pendirian mereka itu juga berpecah. Ada yang sokong kerana percaya Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) akan dilantik TPM (Timbalan Perdana Menteri). Dan ada yg sign SD (surat akuan bersumpah) hanya kerana menolak DAP," katanya.

Mengulas lanjut apa langkah UMNO setelah parti itu memuktamadkan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN, Mohd Puad hanya menjawab ringkas, "Tunggu (keputusan) MKT."

Dira Abu Zahar
Dira Abu Zahar

Sementara itu, seorang lagi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengesahkan beliau ada mengadakan pertemuan dengan secara bersendirian bersama Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis minggu lepas.

Bagaimanapun, Exco Puteri UMNO itu menafikan beliau diarahkan menandatangan sebarang perakuan menyokong ketetapan UMNO keluar daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

"Apa yang pasti, pertemuan saya dengan Presiden UMNO hanya bersifat mesyuarat 'pre-council' dengan saya diberi peluang memberikan pandangan peribadi terhadap apa yang berlaku dalam parti.

"Bagi saya, pertemuan itu positif kerana Presiden UMNO memberi ruang kami meluahkan pandangan selain beliau sendiri turut mengemukakan pandangan terhadap hala tuju masa hadapan parti.

"Namun begitu, saya nafi pernah menandatangani sebarang perakuan menyokong apa-apa ketetapan parti dalam pertemuan itu, sebaliknya borang yang ditandatangan hanyalah senarai kehadiran ahli-ahli MKT sahaja," katanya.

Ditanya sama ada Ahmad Zahid ada mengemukakan pandangan terhadap keperluan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN, Khaidirah mengakui perkara itu ada disebutkan, namun sebarang keputusan bergantung kepada mesyuarat MKT akan datang.