Seludup vape dari Malaysia, 14 dipenjara di Singapura

Seramai 14 pemandu dan kelindan tujuh lori kendalian syarikat Malaysia dijatuhi hukuman penjara sehingga dua bulan kerana menyeludup peralatan vape dan komponen berkaitan ke republik itu. -Gambar hiasan
Seramai 14 pemandu dan kelindan tujuh lori kendalian syarikat Malaysia dijatuhi hukuman penjara sehingga dua bulan kerana menyeludup peralatan vape dan komponen berkaitan ke republik itu. -Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Seramai 14 pemandu dan kelindan tujuh lori kendalian syarikat Malaysia dijatuhi hukuman penjara sehingga dua bulan kerana menyeludup sejumlah 54,392 e-vaporiser (peralatan vape) dan komponen berkaitan ke republik itu.

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) pada Isnin menyatakan kesemua tertuduh didakwa pada 28 Jun 2021 dengan nilai produk dianggarkan S$700,000, rampasan terbesar setakat ini.

“Mereka berusia antara 22 dan 54 tahun. Percubaan untuk menyeludup produk terlarang itu ditumpaskan pegawai Lembaga Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 7 Jun 2021.

"Produk terlarang itu disembunyikan di tempat duduk penumpang tujuh lori yang berdaftar di Malaysia digunakan untuk mengangkut ayam hidup ke Singapura," kata HSA dalam satu kenyataan di sini.

Siasatan menunjukkan 14 penyeludup itu diarahkan ke lokasi tertentu di Singapura untuk menyerahkan barangan terbabit kepada perantara.

Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) melarang pengimportan, pengedaran, penjualan atau tawaran penjualan produk tembakau berbahaya atau tiruan. Ini termasuk e-vaporiser dan komponennya.

Mana-mana individu yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda hingga S$10,000, atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama, dan denda sehingga S$20,000, atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua atau kesalahan berulang.

Sebuah portal berita Singapura pada 10 Jun melaporkan kesemua tertuduh itu adalah rakyat Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: