Frontliners di PPV MITEC terima sumbangan MAFI Prihatin

Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 300 barisan petugas hadapan di PPV MITEC pada Isnin.
Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 300 barisan petugas hadapan di PPV MITEC pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan bantuan kepada seramai 300 barisan petugas hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.

Sumbangan menerusi MAFI Prihatin itu diuruskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diserahkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy.

Ahmad berkata, sejak pelaksanaan MAFI Prihatin pada 27 Mei sehingga 3 Julai lalu, seramai 19,572 orang telah menerima manfaat terdiri daripada petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di 78 lokasi seluruh negara membabitkan sebanyak 37 tan metrik makanan.

"Sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ini merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Penyerahan disaksikan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli; Pengurus PPV MITEC, Dr Nurul Ashikin Shokri dan Ketua Penyelaras PPV MITEC, Mohd Zaki Mat Noor.

Sebanyak 1,400 sumbangan MAFI Prihatin turut diserahkan di Hospital Sungai Buloh kepada petugas barisan hadapan.
Sebanyak 1,400 sumbangan MAFI Prihatin turut diserahkan di Hospital Sungai Buloh kepada petugas barisan hadapan.

Ahmad berkata, selain pelaksanaan program MAFI Prihatin, MAFI melalui FAMA juga telah mewujudkan sebanyak 45 buah Pasar Segar Terkawal (PST) membabitkan seramai 2,154 usahawan tani di seluruh negara.

Bagi tempoh 1 hingga 3 Julai lalu, katanya, PST berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM42.25 juta.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga Sabtu, FAMA telah mengeluarkan sebanyak 15,303 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada usahawan tani.

"Sektor pertanian formal melibatkan syarikat pengilangan, pengeluar produk atau industri makanan pula perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama ini, FAMA telah mewujudkan bilik gerakan yang beroperasi pada jam 8 pagi hingga 7 malam," katanya.

Beliau berkata, ia bagi membantu petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan menghubungi talian hotline FAMA di 019-7476754, 013-3777100 atau 010-7632684.

Ahmad Hamzah (tengah) sedang berbincang sesuatu dengan wakil MAFI ketika menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan di PPV MITEC pada Isnin.
Ahmad Hamzah (tengah) sedang berbincang sesuatu dengan wakil MAFI ketika menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan di PPV MITEC pada Isnin.