Briged Utara PGA jangka terima anggota

Mohd Noh
Mohd Noh
A
A
A

TAMBUN - Pasukan Gerakan Am (PGA) dijangka akan menerima penambahan anggota dalam penugasan kawalan sempadan ekoran pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dibubarkan baru-baru ini.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis bagaimanapun berkata, jumlah sebenar anggota yang akan diserap masuk masih lagi dalam perbincangan.

"Pertambahan anggota masih diperingkat perbincangan tetapi kita menjangkakan akan ada pertambahan keanggotaan," katanya pada sidang akhbar di Kem PGA Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Menurutnya, setakat ini lebih 400 pegawai dan anggota bertugas menjaga sempadan negara di bahagian utara iaitu Aksem Padang Besar, Perlis; Aksem Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Aksem Pengkalan Hulu, Perak.

"Ketiga-tiga Aksem ini dijangka di bawah kawalan penuh PGA dalam masa terdekat berikutan penyerahan telah dilaksanakan pada 30 Jun lalu.

"Dengan pembubaran itu, kawalan tugasan di sempadan menjadi lebih mudah berikutan kita bertugas menggunakan satu arahan sahaja," katanya.

Rabu lalu, Aksem yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan dan tugas-tugas agensi berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pelaksanaan penstrukturan semula Aksem ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berfasa sehingga 30 September tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penstrukturan semula Aksem merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia serta pengurusan kewangan dan perolehan.

ARTIKEL BERKAITAN:Aksem dibubarkan, tugas diambil alih PDRM: Hamzah