SME Bank lancar Program Sukuk Wakalah RM3 bilion

SME Bank - Foto www.smebank.com.my
SME Bank - Foto www.smebank.com.my
A
A
A

SME Bank pada Isnin telah melancarkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion, menjadikannya sebagai institusi kewangan pembangunan Malaysia pertama yang mengeluarkan sukuk kelestarian bagi memenuhi pembiayaan dan keperluan modal kerja masa depannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Aria Putera Ismail berkata, hasil daripada terbitan itu akan disalurkan untuk membiayai projek yang secara langsung akan menyokong 11 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Sebelas kategori yang dipilih itu adalah sejajar dengan kelompok projek hijau serta sosial yang diiktiraf oleh Piawaian Bon Kelestarian ASEAN, Piawaian Bon Sosial ASEAN dan Piawaian Bon Hijau ASEAN yang dikeluarkan oleh Forum Pasaran Modal ASEAN.

Selain itu, 11 kategori itu juga adalah seiring dengan Garis Panduan Bon Kelestarian, Prinsip Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial yang disusun oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa serta mengikut garis panduan standard Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Kategori projek hijau ini menyasarkan enam sektor utama awal iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air. Sektor-sektor ini telah dikenalpasti oleh Pelan Induk Teknologi Hijau bagi memudahkan pertumbuhan mesra alam di Malaysia.

''Fokus kategori projek sosial adalah untuk mewujudkan kerja yang baik, meningkatkan kesaksamaan gender termasuk menyediakan peluang ekonomi kepada kumpulan sosial yang terlepas pandang dan kurang mendapat perkhidmatan di negara ini,'' katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

RHB Investment Bank adalah penasihat tunggal selain sebagai pengatur utama tunggal untuk pelaksanaan program sukuk kelestarian ini dan pengurus utama bersamanya (JLM) adalah AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd serta RHB Investment.

Terdahulu, SME Bank dan JLM menganjurkan pembentangan maya membabitkan sekumpulan pelabur mengenai Program Sukuk Wakalah dan sasaran terbitan sukuk kemampanan kepada mereka yang berpotensi serta berminat.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, terbitan itu tepat pada masanya iaitu semasa krisis ini bagi mengimbangi usaha menjalankan perniagaan untuk keuntungan tetapi mampu berbuat baik bagi memenuhi kewajipan ke arah agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Berdasarkan kepada perkembangan penting ini, timbul satu persoalan iaitu, di mana kedudukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita dalam usaha meletakkan ESG dalam DNA mereka?

''Satu hari nanti, ESG akan menjadi lumrah dan PKS kita harus bersedia untuk menerima pakai prinsipnya dalam operasi harian mereka,” kata Wan Junaidi.

SME Bank adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. - Bernama