Hina agama: Individu biadab tak wajar terlepas

Nasruddin
Nasruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dan pihak berwajib digesa bertindak lebih tegas terhadap golongan penghina agama dengan mengenakan hukuman berat terhadap mereka.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan polis membebaskan seorang individu yang memuat naik karikatur biadab menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda di Facebook.

Sedangkan, katanya, sebanyak 395 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap individu biadab tersebut.

"Dia disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Dia hanya direman selama tiga hari kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

"Walhal, seorang wanita yang menghina Nabi Muhammad SAW pada tahun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 298 juga telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM15,000. Mengikut fakta kes, tindakan individu biadap tersebut tidak wajar untuk dilepaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau berkata, Pas menuntut penjelasan pihak berwajib bagi meredakan keresahan umat Islam.

"Kerajaan Malaysia mesti tegas bertindak, jaga agama Islam dan sensitiviti penganutnya. Jika kerajaan malas dan lembab bertindak, ia menyebabkan penghina agama ini makin berani dan nekad.

"Jika tiada tindakan tegas, rakyat pasti akan bangkit dan himpunan raksasa akan diadakan untuk mendesak kerajaan bertindak," katanya.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Individu hina Nabi ditahan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Hina Nabi: Desak ambil tindakan]