X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Kelindan lori dipenjara tiga bulan acu pisau terhadap guru

Mahkamah Majistret Selayang menjatuhi hukuman penjara tiga bulan kepada seorang kelindan lori kerana mengacukan pisau ke arah seorang guru, bulan lalu.
A
A

SELAYANG - Seorang kelindan lori dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana mengacukan pisau ke arah seorang guru dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan, bulan lalu.

Mohd Seddek Md Sharif, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula tarikh tangkap iaitu 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan serta berbaur provokasi kepada seorang guru lelaki berusia 46 tahun dengan niat mendatangkan ketakutan.

Kejadian dilakukan di hadapan sebuah unit pangsapuri di Jalan Sungai Tua, Batu Cave di sini pada jam 6.20 petang, 27 Jun lalu.

Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa pengadu sampai di hadapan rumahnya, dia mendapati tertuduh yang merupakan jiran sedang berdiri di antara rumah mereka.

Apabila pengadu ingin masuk ke dalam rumahnya, tertuduh telah memaki hamun pengadu dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan sambil mengacukan pisau kepada pengadu.

Pengadu telah berasa takut dengan tindakan tertuduh dan membuat laporan polis.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, M Mariappan merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara paling minima kerana tertuduh perlu tanggung ibu bapa selain pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!