X

Kindly register in order to view this article
!

PPVIN di KLIA khas untuk sektor pengangkutan udara

Anggota Polis Bantuan Malaysia Airport Sdn Bhd Mas Irahayu Ibrahim (kiri) selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) membuka Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khas untuk sektor pengangkutan udara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, PPVIN KLIA dibuka untuk mempermudah dan mempercepatkan program vaksinasi kepada 22,243 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan di KLIA.

"MOT akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutama dalam memastikan petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin.

"Melalui program ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bekerjasama dengan beberapa syarikat industri penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad, Malindo Air, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat-syarikat penerbangan asing yang diwakili Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan oleh Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ka Siong berkata, program vaksinasi itu dilaksanakan bermula Isnin sehingga 24 September ini bertempat di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA dari jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

Beliau berkata, MOT bersama CITF juga sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan atau p-hailing dengan jumlah keseluruhan dianggarkan seramai 355,064 orang di seluruh negara.

"Bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV turut akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan seramai 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

"Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV awam, manakala kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!