Didenda RM3,000 jual lembu curi

Ahyar (kanan) dan Mazli (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Ayer Keroh pada Isnin.
Ahyar (kanan) dan Mazli (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Ayer Keroh pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara menjual seekor lembu curi, seorang lelaki warga Indonesia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh pada Isnin selepas mengaku salah melakukan perbuatan itu.

Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Ahyar, 42 yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Ahyar didapati dengan sengaja melupuskan suatu harta iaitu seekor lembu jantan kepunyaan Nor Azizi Mohamad Sidin, 39, yang dalam pengetahuan bahawa ternakan itu merupakan hasil curi dengan menjualkannya kepada Mohd Najib Mat Som, 36, pada harga RM2,700.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah kebun getah berhampiran kandang lembu milik penama Mohd Zaki Bakar, 44, di Kampung Kelubi dalam daerah Jasin pada 8 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak, selain tiada pendapatan tetap.

Turut didakwa seorang penjawat awam yang berkhidmat di Hospital Jasin atas pertuduhan sama pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mazli Bakar, 53 yang diwakili peguam Izzuddin Ab. Malek mengaku tidak bersalah dan memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu awam di hospital tersebut dengan gaji kira-kira RM1,400 sebulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli memohon hukuman setimpal diberikan kepada Ahyar dan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap Mazli.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara enam bulan jikan gagal bayar terhadap Ahyar, manakala penjawat awam itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 1 September depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.